Dalang arah bunuh Altantuya lebih penting, kata bapa


Noel Achariam

Setev Shaarribbu, bapa kepada mangsa pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu mahu dalang yang mengarahkan anaknya dibunuh diheret ke muka pengadilan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Jun, 2018.

BAPA Altantuya Shaarriibuu tidak berminat untuk membincangkan nasib pembunuh anak perempuannya kerana beliau memburu dalang disebalik tragedi kejam itu.

Setev Shaarribuu memberitahu yang beliau tidak mahu bercakap tentang Sirul Azhar Umar, bekas pengawal peribadi yang disabit bersalah membunuh anak perempuannya pada 2006.

“Saya tak mahu cakap tentang Sirul,” katanya hari ini pada sidang media di pejabat peguam keluarga Shariibuu, Ramkarpal Singh.

“Paling penting adalah siapa yang mengarahkan pembunuhannya.”

Altantuya, 28, ditembak mati dan mayatnya diletupkan di Puncak Alam, Shah Alam pada 2006.

Dua anggota polis- Sirul dan Azilah Hadri- kedua-duanya bekas pengawal peribadi Najib Razak didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati pada 2015.

Sirul yang melarikan diri ke Sydney, Australia setahun selepas disabit bersalah mendakwa hanya mengikut arahan orang atasan.

Malaysia sedang berunding dengan Canberra untuk penghantaran pulang Sirul bagi memberi keterangan.

Tetapi, dia dilaporkan meluahkan kebimbangan tentang keselamatan dirinya kepada rakan-rakannya jika kembali ke Malaysia.

Ramkarpal berkata bahawa Sirul tidak penting sama sekali dalam kemungkinan pembukaan semula siasatan pembunuhan Altantuya.

“Terdapat bukti lain daripada prosiding jenayah itu sendiri. 

“Saksi penting tidak dipanggil dalam prosiding itu yang menimbukan persoalan mengenai motif dan juga siapa yang mengarahkan pembunuhan itu. 

“Rakyat mempunyai tanggapan salah bahawa kita memerlukan beliau di sini. Ia pastinya tidak berlaku.”

Pada 2009, Sirul dan rakan setugasnya dalam UTK Azilah Hadri disabitkan kesalahan membunuh Altantuya pada 2006 dan dijahuti hukuman mati. Mereka bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan yang menimbulkan kontroversi pada 2013. 

Pihak pendakwaan membuat rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan Sirul kemudiannya melarikan diri bagi mencari suaka di Australia, di mana beliau ditahan di pusat tahanan imigresen Villawood. Pada 2015, Mahkamah Persekutuan menukar pembebasan itu. 

Permintaan awal Malaysia untuk membawa pulang Sirul ditolak oleh Australia, kerana undang-undang negara tidak membenarkan orang yang menghadapi hukuman mati untuk diekstradisi.– 19 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen