UMNO meminjam taktik Pakatan Harapan (PH) untuk merampas kembali kuasa pentadbiran.
Parti itu mahu menggunakan media sosial secara besar-besaran bagi mendesak kerajaan baharu jadi jujur dan dengan berbuat demikian mengharapkan Umno akan terus kekal relevan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tulang belakang strategi media sosial itu adalah unit komunikasi strategik.
Unit inilah yang giat mengeluarkan kenyataan menentang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Kementerian Kewangan dan PH ketika parti dan pemimpin pembangkang lain kini banyak berdiam diri.
Satu-satunya pembangkang yang berterusan mengeluarkan kenyataan menerusi media sosialnya membidas dakwaan PH adalah Najib Razak.
“Unit komunikasi strategik Umno terdiri daripada beberapa pemimpin Majlis Tertinggi termasuk Presiden sementara, Ahmad Zahid Hamidi.
Matlamat unit itu adalah untuk menggunakan sepenuhnya media sosial seperti dilakukan PH sebelum PRU14 bagi memastikan Umno terus kekal relevan, kata ahli unit itu, Lokman Noor Adam.
“Sekarang mereka sedar, yang teknologi boleh main peranan dan juga memastikan anda dapat hasil yang berbeza. Kami akan jadi pembangkang yang sangat kuat,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara.
Kenyataan itu merujuk bukan sahaja kepada media tradisional dan dalam talian tetapi juga mencakupi Facebook dan WhatsApp.
Lokman yang merupakan bekas pembantu Najib di Kementerian Kewangan juga menambah yang unit itu dipandu fakta. Ia tidak akan menggunakan retorik kosong atau fitnah seperti mana digunakan tentera siber Umno dahulu.
“Kami akan buat sama dengan apa yang Pakatan Harapan buat tapi dengan cara lain. Tiada lagi fitnah dan tak lagi bercakap tanpa fakta dan nombor.
“Kami hanya akan mengingatkan kerajaan hari ini apa yang mereka janjikan kepada rakyat. Kami akan semak imbang bila mereka melawan prinsip mereka,” katanya.
Lokman yang bertanding kerusi Majlis Tertinggi Umno juga mengatakan perlu adanya perubahan minda sepenuhnya dalam kalangan ahli parti.
“Pendekatan Umno sekarang berbeza. Dahulu kita berorientasikan perkhidmatan, boleh juga dianggap orientasi tindakan kerana kita kerajaan.
“Sekarang kita dah tiada kuasa, jadi kita perlu berorientasi isu seperti yang dibuat pembangkang dahulu,” katanya.
Bekas orang PKR itu juga mengatakan yang beliau tahu cara kerja PH dan kerana itu mudah untuk Umno mengalahkan mereka dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan