Beri geran kepada pihak yang betul, kata penerbit Upin & Ipin


Nabihah Hamid

PENGASAS siri animasi popular Upin & Ipin mahu kerajaan mengawal industri penciptaan kandungan dengan mengutamakan animasi tempatan dan memberikan peruntukan geran kepada pihak yang betul.

Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, pengurusan dana yang lebih sistematik amat penting bagi memastikan industri kreatif terus membangun dan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Saya lebih banyak cakap tentang bagaimana mereka perlu menguruskan dana dan sokong industri.

“Selepas lebih 10 tahun dalam industri ini, ada perkara yang kurang baik malah pencapaian pun tidaklah memberansangkan.

“Model (sokongan dana) kena tukar sikit. Orang yang uruskan dana itu jangan anggap dia pandailah.

“Kita perlukan orang yang betul-betul tulen (yang mahukan bantuan dana), jangan cerita nak ambil geran saja lepas itu satu benda pun tiada,” katanya ketika ditemui media selepas memberi taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu sebelum ini pada 7 Jun lepas mendengar taklimat daripada lima wakil industri hiburan termasuk penyanyi Siti Nurhaliza, akitivis teater Jo Kukathas, pengkritik filem Hassan Muthalib, aktivis budaya Eddin Khoo Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez dan bekas ketua pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Kamil Othman.

Mereka ketika itu antara lain mencadangkan penubuhan sebuah majlis keseniaan untuk memajukan industri seni tanah air.

Dalam pada itu, Burhanuddin yang pernah menjadi ahli lembaga Finas berkata beliau kesal apabila kontrak animasi Upin & Ipin dibatalkan oleh sebuah stesen televisyen tempatan atas dakwaan “tidak ada cukup dana”.

“Tetapi mereka ambil kartun luar negara. Sekarang sudah tukar kerajaan, kita cuba ambil RTM. Tunggulah, apa kata menteri.

“Perkasakanlah produk (kartun) tempatan,” kata penerbit siri kartun yang turut popular di Indonesia itu.

Burhanuddin sebelum ini mendakwa kurang mendapat peruntukan dana dan menyebabkan projek beliau lain yang berpotensi dimajukan tidak terlaksana, seperti taman tema yang mampu menarik pelancong.

“Kami banyak bergerak atas dana sendiri dan Indonesia merupakan pasaran yang paling stabil setakat ini.

“Sekarang kami cuba tembus pasaran China untuk bawa filem terbaru Upin Ipin ke sana.

“Malah, idea mewujudkan taman tema Upin Ipin mampu direalisasikan selepas ia berjaya mendapat perhatian MPK memandangkan ia mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.

Beliau sebelum ini dilaporkan mendapat dana RM1juta untuk membangunkan industri animasi.

Di Malaysia,  Taman Tema Upin dan Ipin diwujudkan di Tambun Perak dengan anggaran menelan kos sebanyak RM200 juta itu.

Bagaimanapun, Burhanuddin berkata beliau berhajat membina taman tema yang lebih besar di Malaysia seperti Disneyland di California, Amerika Syarikat.

“Sudah bertahun-tahun saya cuba kejar untuk wujudkan taman tema tetapi tak banyak dapat sokongan.  

“Disebabkan Upin Ipin sangat popular, kalau kita buka taman tema, orang Brunei dan Indonesia semua nak datang. Ini yang dapat hasilkan pelbagai pendapatan contohnya hospitaliti, pelancong datang,” katanya lagi.

Watak kartun kembar itu bakal diabadikan di sebuah taman tema di China berkeluasan kira-kira 5.7 kilometer persegi dengan anggaran nilai pembangunan kasar AS$10 bilion (RM42.9 bilion). Ia dijangka siap dua hingga tiga tahun lagi, lapor Berita Harian. – 18 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen