JIKA Umno serius mahu bebas daripada era Najib Razak, ahli parti perlu cukup berani untuk mengatasi genggaman golongan “warlords” terhadap Umno, kata wartawan veteran A. Kadir Jasin.
“Warlords” ialah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada kumpulan tertentu yang merasakan diri mereka berkuasa dalam parti.
Kadir yang juga pengulas politik disegani berkata kalau ahli tidak berani, sukar bagi Khairy Jamaluddin untuk menang dalam pertandingan merebut jawatan presiden dalam pemilihan Umno hujung bulan ini.
“Warlords” dalam Umno terdiri daripada ketua-ketua bahagian yang secara tradisinya mereka memegang sumber dan sistem feudal yang boleh menentukan bagaimana ahli mengundi.
Kadir berpendapat, Khairy ialah kunci kepada Umno untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat Malaysia.
“Jika Umno serius hendak putus daripada zaman di bawah Najib, ia perlu berfikir lebih berani dan saya rasa Khairy pilihan terbaik. Tetapi dia perlu melepasi warlords dan cengkaman mereka terhadap parti.
“Saya rasa ia sesuatu yang segar apabila ada muka baharu mahu bertanding merebut jawatan presiden. Khairy indivitu terbaik untuk beri Umno wajah dan personaliti baharu,” kata Kadir kepada The Malaysian Insight.
Beliau memberi amaran bahawa “warlords” mungkin menyokong sama ada Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah, bagi menyekat kemenangan Khairy.
Kadir yang juga ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu menulis tentang potensi Khairy menjadi presiden Umno dan satu hari nanti sebagai perdana menteri menerusi blognya.
Beliau berkata lawan Khairy seperti presiden sementara Zahid dan Ku Li yang juga ahli Parlimen Gua Musang tidak akan mampu membawa parti itu lebih jauh.
“Ku Li dan Zahid dianggap wajah lama bukan hanya kerana usia mereka tetapi kerana mereka terlalu rapat dengan masa silam,” kata Kadir.
Tujuh individu bertanding merebut jawatan presiden Umno tahun ini termasuk Zahid, Tengku Razaleigh dan penulis blog Rahmat Azim Abdul Aziz.
Kadir berkata orang dalam Umno akhirnya sedar bahawa parti itu ialah kapal karam dan perubahan besar diperlukan.
“PRU14 memberi isyarat jelas kepada Umno. Sekarang rasanya mereka mahu perubahan besar dan patut memilih barisan pemimpin lebih muda.”
Secara keseluruhan Umno menerima 612 pencalonan bagi pelbagai jawatan termasuk presiden. Sembilan individu bertanding untuk tiga jawatan naib presiden dan tiga pemimpin mengintai peluang menjadi timbalan presiden.
Bagi ketua Pemuda, terdapat sembilan pencalonan dan bagi timbalan ketua Pemuda, juga ada sembilan nama diserahkan.
Bagi jawatan ketua Wanita dan Puteri, masing-masing bakal ditandingi empat calon.
Secara keseluruhan, 121 orang menghantar pencalonan mereka untuk mendapatkan tempat di antara 25 kerusi Majlis Tertinggi Umno. – 18 Jun, 2018.
Komen