ROSILE Saat, Mohamad Iqbal Maricair dan Yusof Musa adalah nama-nama yang tidak didedahkan secara rasmi bertanding untuk jawatan presiden Umno sebelum ini.
Nama-nama tersebut tular di media sosial selepas parti itu mengumumkan tempoh pencalonan bagi pemilihan Umno ditutup petang tadi.
Tidak banyak maklumat mengenai mereka, tetapi difahamkan Rosile bergiat secara aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) sementara Iqbal adalah sebahagian daripada Jaringan Melayu Malaysia (JMM). Yusof pula adalah seorang peguam.
Rosile dari bahagian Umno Bangi, Iqbal dari bahagian Bandar Tun Razak dan Yusof dari bahagian Iskandar Puteri.
Mereka adalah antara calon yang akan bertanding jawatan tersebut bersama pemimpin lain yang secara rasmi mengumumkan pencalonan mereka sebelum ini.
Mereka adalah pemangku presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin; dan blogger Rahmat Azim Abdul Aziz.
Senarai akhir calon yang disahkan bertanding bagaimanapun akan diumumkan esok selepas selesai proses semakan oleh parti, termasuk meneliti status bankrap.
Tiga calon akan bertanding jawatan timbalan presiden sementara sembilan lagi bakal merebut satu daripada tiga jawatan naib presiden.
Calon yang akan bertanding jawatan timbalan presiden adalah Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa dan Ketua Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Mohamad Hasan.
Calon yang akan bertanding jawatan naib presiden adalah Johari Abdul Ghani, Mohamed Khaled Nordin, Tajuddin Abdul Rahman, Ahmad Said, Ismail Sabri Yaakob, Shahidan Kassim dan Mahadzir Khalid.
Khairy sebelum ini mencalonkan diri untuk jawatan naib presiden tetapi menarik diri hari ini untuk bertanding jawatan presiden.
Secara keseluruhan, Umno menerima 612 pencalonan untuk pelbagai jawatan.
Umno menerima masing-masing sembilan pencalonan untuk jawatan ketua dan naib ketua pemuda.
Parti itu turut menerima masing-masing empat pencalonan untuk jawatan ketua wanita dan puteri.
Seramai 121 ahli menghantar borang pencalonan untuk jawatan Majlis Tertinggi Umno. – 17 Jun, 2018.
Komen