UMNO menerima tujuh pencalonan bertanding jawatan presiden parti itu apabila pencalonan yang dibuka sejak 1 Jun lepas ditutup pukul 5 petang hari ini, kata Setiausaha Kerja Umno, Rauf Yusoh.
Senarai akhir calon yang disahkan bertanding bagaimanapun akan diumumkan esok selepas selesai proses semakan oleh parti, termasuk meneliti status bankrap.
“Ada tujuh yang bertanding untuk jawatan presiden. Semua nama yang dicalonkan akan disemak kelayakan dan kebankrapan.
“Esok kita akan umum nama-nama calon,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno, petang ini.
Daripada tujuh calon itu, empat dilaporkan media sebelum ini iaitu pemangku presiden, Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan ahli Umno Kota Raja, Rahmat Azim Abdul Aziz atau Mat Umno.
Seorang lagi calon, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengumumkan pencalonannya beberapa jam sebelum tempoh pendaftaran ditutup.
Rauf juga memberitahu tiga calon mengemukakan nama bertanding jawatan timbalan presiden manakala sembilan calon untuk jawatan naib presiden.
Dua calon bagi jawatan nombor dua yang diketahui sebelum ini ialah Ketua Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa.
Hanya seorang calon naib presiden yang tidak diketahui. Tujuh calon yang dilaporkan sebelum ini ialah Johari Abdul Ghani, Mohamed Khaled Nordin, Tajuddin Abdul Rahman, Ahmad Said, Ismail Sabri Yaakob, Shahidan Kassim dan Mahadzir Khalid.
Khairy sebelum ini mencalonkan diri untuk naib presiden tetapi menarik diri hari ini untuk bertanding presiden.
Secara keseluruhan, Umno menerima 612 pencalonan untuk pelbagai jawatan.
Umno menerima masing-masing sembilan pencalonan untuk jawatan ketua dan naib ketua pemuda.
Parti itu turut menerima masing-masing empat pencalonan untuk jawatan ketua wanita dan puteri.
Seramai 121 ahli menghantar borang pencalonan untuk jawatan Majlis Tertinggi Umno.
Antara yang menghantar pencalonan untuk jawatan ketua Pemuda Umno adalah Jamal Yunos yang kini dalam pelarian dan diburu pihak berkuasa.
Ketika ditanya sama ada ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu layak untuk bertanding, Rauf berkata dia “tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah, justeru layak untuk turut sama merebut jawatan itu.
Hari ini merupakan hari terakhir untuk menghantar borang pencalonan bagi bertanding dalam pemilihan parti.
Pemilihan yang akan berlangsung pada 30 Jun itu nanti dilihat sebagai langkah penting untuk Umno membina semula keyakinannya selepas mengalami kekalahan buat pertama kali dalam pilihan raya. – 17 Jun, 2018.
Komen