Pemilihan Presiden Umno: Dari bangsawan ke feudal


Zainal Rashid Ahmad

SELEPAS 3 Jun 1988, sejumlah kumpulan pemberontak Umno dengan megah memakai cincin emas dengan cop S46 – satu simbol kebanggaan kumpulan anti Dr Mahathir Mohamad, yang keluar parti untuk menyertai Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Ku Li, berdarah feudal Kelantan, menubuhkan parti Semangat 46 (S46) setelah kecewa apabila gagal mengalahkan Dr Mahathir pada Perhimpunan Agong Umno (PAU) 1987.

Waktu itu, dalam kalangan rakan-rakan penulis sampailah kaki tarik kereta, tindakan memakai cincin bercop S46 adalah satu kebanggaan. Tanda keberanian kerana pertama kali Umno berpecah dan wujud parti baru yang menentangnya.

Ku Li kalah 43 undi dalam pemilihan yang membabitkan hampir 1,500 perwakilan. Kekalahan itu dianggapnya satu penipuan. Justeru, kerana marah, anak feudal Kelantan ini mengisytiharkan perang terhadap Umno.

Kes Umno dibawa ke mahkamah hingga parti itu diharamkan, dan lahir sebuah parti baru. Satu catatan malam jahanam apabila parti yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 pertama kali diseret dan dibatalkan pendaftarannya di mahkamah.

Pada Jun 1987, satu tindakan guaman sivil difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Ada 11 ahli Umno memohon relif termasuk pengisytiharan pemilihan PAU pada April 1987 sebagai bertentangan dengan Perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal, serta tidak mempunyai kesan.

Alasannya, 30 cawangan tidak diluluskan dalam empat bahagian Umno. Justeru, perwakilan empat bahagian itu tidak layak mengundi dalam PAU 1987.

Tarikh pengharaman itu satu sejarah hitam untuk Umno. Malah, sejarah hitam juga untuk Ketua Hakim Negara, Salleh Abbas yang dikaitkan dengan krisis pengharamkan Umno.

Keputusan mahkamah mencetuskan hubungan buruk antara kerajaan dengan institusi kehakiman.

Salleh yang kemudiannya dipecat, ikut menyertai S46.

Ku Li yang mengisytiharkan perang terhadap Umno menubuhkan S46 dengan sokongan antaranya Rais Yatim. Anak Minangkabau yang turut menentang Dr Mahathir.

Cuma hayat S46 tidak panjang. Setelah gagal dalam PRU 1990 dan 1995, parti feudal itu dibubarkan. Semua tokoh-tokoh parti itu kembali ke pangkuan Umno. Termasuk pemimpin mudanya, Ahmad Shabery Cheek.

Namun, sepanjang lapan tahun mengetuai S46, Ku Li bermati-matian menentang Umno dan Dr Mahathir. S46 bergabung dengan PAS dan dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Turut serta dalam APU ialah Berjasa, Hamim dan Kimma.

S46 hanya berjaya membentuk kerajaan campuran dengan PAS di Kelantan pada PRU 1990. Tidak cukup dengan APU, Ku Li turut berkerjasama menentang Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan kolaborasi bersama DAP, PBS, dan PRM. Pakatan di luar Kelantan ini dikenali sebagai Gagasan Rakyat.

Dahsyat. Dendam Ku Li pada Dr Mahathir, Umno dan BN bukan kecil. Dia bermati-matian berusaha memusnahkan Umno melalui mahkamah dan pilihan raya.

Tidak seperti Tunku Abdul Rahman Al Haj. Anak feudal Kedah ini dikenang Umno kerana jasa-jasanya yang merakyat. Tunku menjual harta-hartanya di Pulau Pinang. Wang itu diberikan kepada Umno untuk dana politik.

Tunku yang feudal dan perdidikan sekular British, menerima hakikat apabila didesak berundur selepas tragedi 13 Mei 1969. Tunku melepaskan jawatan pada 1970 dan memberi laluan pada Hussein Onn.

Memang Tunku menyokong S46, namun peranannya hanya di atas kerusi roda dan sangat uzur ketika Ku Li menyeretnya ke kancah politik menentang Dr Mahathir.

Hari ini, lelaki feudal bernama Ku Li kembali lagi. Selepas 31 tahun lalu bertanding jawatan presiden Umno dan kalah. Selepas 30 tahun membentuk S46 dan APU bersama Gagasan Rakyat semata-mata untuk menentang Umno dan BN.

Ku Li kembali ke arus perdana Umno selepas 22 tahun diterima semula sebagai ahli. Selepas 22 tahun bertaubat kononnya.

Cuma kali ini, Ku Li kembali sebagai calon [residen Umno untuk menentang Ahmad Zahid Hamidi. Dalam sidang media di rumah agamnya pada 2.30 petang semalam, Ku Li tiba-tiba bernada rakyat.

Ucapannya penuh hemah, konon bertanding demi menyelamatkan Umno. Ku Li mengumumkan hasratnya menjadi presiden dengan menelan dan melupakan segala jadam yang pahit akibat pengkhianatannya tiga dekad lalu.

Ku Li kini kembali ketika Umno dan BN telah tumbang sebagai pemerintah. Anak feudal ini naik tocang setelah menghidu peluangnya kali ini lebih cerah untuk menang.

Ketokohan Ku Li ialah watak politik tipikal dalam DNA Melayu. Sudah ada sejak era Raja Mendeliar dalam sejarah Melaka. Watak-watak yang menyedihkan dalam catatan Sulalatus Salatin. Perihal watak-watak yang cekap mengambil kesempatan dalam kesempitan politik.

Umno Johor antara penggerak kebangkitan Ku Li. Umno Johor dengan 26 bahagian, sejak dua hari selepas PRU 14 sudah menampakkan tekanan untuk pembaharuan kepimpinan Umno.

Tindakan Umno Johor hanya menamakan anak Johor Hishamuddin Hussein sebagai calon timbalan presiden, tetapi tidak menyokong Zahid sebagai presiden adalah langkah politik pertama untuk bersikap anti Zahid.

Zahid dilihat orang Najib. Apabila Hishamuddin yang juga orang Najib memilih untuk menyisihkan diri, Umno Johor melangkah lebih hebat.

Tidak hairanlah bekas menteri besar, Khaled Nordin turut hadir dalam sidang media Ku Li. Sikap politik yang simbolik bagi menyatakan sokongan.

Zahid kini dilabel sebagai orang Najib yang menjadikan Umno parti bangsawan yang berjuang dengan rakyat.

Sikap bangsawan Najib yang lahir dalam keluarga leluhur yang akrab dengan Istana Pahang sejak era datuknya sebagai menteri besar, dikatakan faktor utama bekas PM itu tidak berjiwa rakyat tulen.

Namun, apa kurangnya Ku Li. Dia simbol feudal dalam Umno. Sikap angkuh dan enggan serta gagal menerima kekalahan pada 1987 serta usahanya memusnahkan Umno selama lapan tahun ketika bersama S46 adalah bukti, ketaatan seorang feudal sangat mencurigakan.

Umno tidak akan menuju sebarang titik perubahan kalau bersama Ku Li. Kalau Ku Li menang presiden, Umno hanyalah parti yang melengkapkan sejarah anehnya: Dari bangsawan ke feudal! – 17 Jun, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen