BUAT pertama kali, pemilihan Umno 30 Jun nanti akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru merebut jawatan presiden parti setelah bertahun jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan sehingga budaya tidak mencabar kepimpinan tertinggi parti berakar umbi.
Tetapi Umno kini berada dalam “Malaysia Baharu” apabila kekalahan memalukan kepada Pakatan Harapan (PH) yang kini jadi kerajaan setelah pilihan raya bersejarah 9 Mei lalu.
Kekalahan tersebut menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang diterajui parti itu kecundang setelah lebih enam dekad mentadbir negara sejak kemerdekaan.
Pada awalnya, wujud pandangan yang bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi yang kini memangku tugas-tugas presiden selepas Najib Razak meletakkan jawatan wajar diberikan pas automatik jawatan presiden tanpa dicabar, cadangan itu serta merta dibantah sayap Pemudanya.
Umno perlu mengembalikan keyakinan rakyat dan meraih semula kredibilitinya, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, dan parti itu pada saat genting ini memerlukan kepimpinan yang boleh mengemudi perjalanan sukar kerana kuasa kerajaan persekutuan bukan lagi miliknya.
Menurut Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, penyerahan borang pencalonan akan berakhir jam 5 petang ini dan ia tidak akan dilanjutkan seterusnya memuktamadkan proses pencalonan yang bermula sejak 1 Jun lalu.
Senarai akhir calon bertanding merebut jawatan presiden, timbalan presiden, tiga posisi naib presiden, ketua sayap dan ahli Majlis Tertinggi akan diumumkan tengahari ini.
Setakat ini, jawatan presiden yang dikosongkan Najib Razak akan ditandingi oleh Zahid, usahawan dan penulis blog Rahmar Azim Abdul Aziz yang lebih dikenali sebagai “Mat Umno”, dan calon yang baharu semalam mengumumkan masuk gelanggang, Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Tengku Hamzah.
Tengku Razaleigh pemimpin asal kerabat diraja Kelantan itu yang lebih mesra dengan gelaran Ku Li semalam menjawab semua teka-teki sama ada beliau akan bertanding jawatan presiden.
Pemimpin yang sudah berusia 81 tahun itu sebelum ini mengatakan perlu mengambil kira faktor usia dan kesihatan sebelum buat keputusan, beliau juga mahukan pemimpin muda yang berwibawa untuk mengetuai kepimpinan parti yang diasaskan 72 tahun lepas itu.
Sementara itu, jawatan timbalan presiden pula akan jadi rebutan antara Ketua Penerangan Umno Annuar Musa dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan yang dilihat banyak terima sokongan golongan muda dan antara pemimpin Umno pertama lantang bersuara selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan mengecam budaya politik wang Umno dan pentingnya parti mengakui kesilapan sebelum usaha mengukuhkan parti boleh bermula.
Timbalan Presiden Hishamuddin Hussein pula memutuskan untuk tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti kali ini. Selepas PRU14, beliau menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.
Jawatan naib presiden pula akan ditandingi oleh lapan calon terdiri daripada enam bekas menteri dan timbalan menteri serta dua bekas menteri besar.
Antara yang bertanding ialah bekas menteri timbalan pertanian dan industri asas tani Tajuddin Abdul Rahman, bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah Ismail Sabri, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim, bekas menteri belia dan sukan, bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid, bekas menteri kewangan kedua Johari Abdul Ghani, bekas menteri besar Johor Mohamed Khaled Nordin dan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said.
Sementara itu, jawatan ketua Pemuda Umno yang dikosongkan Khairy Jamaluddin akan ditandingi oleh tujuh calon termasuklah timbalan ketua Pemuda Umno sekarang, Khairul Azman Harun dan ketua Umno Bahagian Sungai Besar yang kini menjadi buruan, Jamal Yunos.
Individu kontroversi media sosial yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baru, Lokman Noor Adam pula menarik diri daripada bertanding jawatan ketua sayap Pemuda.
Bekas exco Pemuda Umno itu sebaliknya bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi memandangkan kenyataan Khairy sebelum ini yang mengehadkan usia jawatan tersebut kepada 35 tahun.
Jawatan ketua Wanita Umno yang dikosongkan Shahrizat Abdul Jalil pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru merebut sayap paling ramai ahli itu antara bekas ketua Wanita Umno Siti Zaharah Sulaiman, Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun dan Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad.
Naib Ketua Puteri Zahida Zarik Khan pula bertanding untuk ketua Puteri Umno.
Umno meminda Perlembagaannya pada 2009 yang membuka jalan kepada pemilihan langsung oleh ahli-ahli akar umbinya. Pindaan itu menghapuskan syarat kuota yang diperlukan calon yang mahu bertanding jawatan dalam Umno pusat, sekaligus tidak lagi memerlukan pencalonan daripada bahagian seperti amalan sebelum ini.
Sebaliknya, mana-mana ahli yang memenuhi syarat pertandingan boleh mengemukakan borang pencalonan. Pemilihan ini akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Jun. – 17 Jun, 2018.
.jpg)
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alenac c · Ulasan