Perkukuh Umno sebagai alternatif untuk rakyat, kata Salleh 


Yasmin Ramlan

Bekas menteri komunikasi dan multimedia Salleh Said Keruak meminta semua ahli parti agar setia dan perkukuhkan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2018

SELEPAS kekalahan yang dialami oleh Umno pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) 9 Mei lalu, bekas menteri Salleh Said Keruak berhasrat untuk menjadikan parti Melayu itu sebagai parti alternatif untuk rakyat. 

Melalui tulisan di blognya, Salleh yang merupakan timbalan pengerusi perhubungan Umno Sabah berkata, ia boleh dilakukan dengan memperkukuhkan parti tanpa meninggalkan parti. 

“Di Sabah, masih ramai ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti yang masih setia dengan perjuangan Umno. 

“Mereka telah bekerja keras untuk memenangkan calon Barisan Nasional pada PRU14. Kita tidak akan meninggalkan Umno hanya kerana kegagalan membentuk kerajaan. Setiakawan mesti kita pelihara. 

“Kita harus terus memperkukuhkan parti sebagai pilihan alternatif kepada rakyat. Apa pun tindakan yang diambil semestinya melalui muafakat antara kita. Tindakan tergopoh-gopoh akan merugikan kita,” katanya. 

Beliau berkata, persengketaan tidak seharusnya ada hanya kerana perbezaan pendirian politik dan politik matang perlu diamalkan dari sekarang demi negara,” katanya.

Tambahnya, pihak Umno kini sedang menumpukan proses pemilihan parti yang bakal berlangsung pada 30 Jun ini.

Beberapa hari lalu, semua Adun pembangkang di negeri itu mengangkat sumpah bukan lagi menjadi wakil rakyat BN kecuali Umno.

Kesemua Adun itu telah memenangi kerusi masing-masing dari Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada pilihanraya bersejarah itu dan mengambil keputusan meninggalkan BN. – 16 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Jangan biarkan perbezaan fahaman politik memecah belahkan perpaduan

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan