APA pun yang diumumkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah petang ini – bertanding atau tidak jawatan presiden Umno – pengumumannya nanti akan jadi catatan penting dalam sejarah parti Melayu itu selepas pilihan raya umum ke-14, dan sejarah politik tokoh veteran itu sendiri.
Kalau Tengku Razaleigh mengumumkan beliau bertanding, ini sejarah bagi Umno kerana akan ada pertandingan bagi jawatan presiden, yang pertama sejak 1987.
Ini juga sejarah bagi anak raja dari Kelantan yang masuk politik itu, yang mesra dengan panggilan Ku Li, setelah tidak lulus untuk bertanding sejak 1996, ketika Umno masih menggunakan sistem kuota pencalonan sebelum pindaan perlembagaan pada 2009.
Kalau Ku Li mengumumkan tidak bertanding, ini tentunya akan jadi catatan awal penutup karier politik beliau sejak 1962, sejak putera raja itu pulang dari London untuk pemakaman ayahandanya dan kemudian dipujuk oleh Tunku Abdul Rahman untuk masuk politik dan membetulkan Umno di Kelantan.
Tetapi riwayat politik Ku Li, 81, tidak boleh dipadamkan begitu saja daripada sejarah Umno yang sedang ditulis, ketika parti Melayu itu berusaha bangkit semula selepas kalah pilihan raya.
Dengan pengalamannya yang luas, Ku Li dilihat boleh memainkan peranan yang besar dalam Umno yang sedang bertatih semula.
Dalam kalangan pemimpin Umno di peringkat nasional dan di akar umbi, banyak yang melihat dengan serius, siapa lagi yang boleh memberikan Umno kepimpinan untuk berdepan dengan Dr Mahathir Mohamad dan barisan kerajaan di Parlimen, kalau bukan Ku Li?
Secara berjenakanya pula mereka bercanda, negara ini memang layak dipimpin oleh orang tua, dan kerana Dr Mahathir, 93, sudah mengetuai kerajaan, eloklah Ku Li pula mengetuai pembangkang.
Presiden Umno atau Ketua Pembangkang?
Setakat ini, ada dua calon yang sudah memajukan nama untuk jadi Presiden Umno – Naib Presiden, Ahmad Zahid Hamidi yang kini memangku tugas presiden dan seorang lagi, usahawan dan blogger, ahli Umno Kota Raja, Rahmat Azim Abdul Aziz atau lebih dikenali di media sosial sebagai Mat Umno.
Seorang serius, seorang lagi dilihat mencari populariti.
Walaupun serius mahu mengambil tanggungjawab memulihkan Umno selepas terpukul dalam PRU14, Zahid kini sedang digambarkan oleh sesetengah pihak sebagai sudah hilang kredibiliti dan moral untuk menerajui Umno.
Bukan rahsia lagi dalam kalangan orang Umno bahawa “ada gerakan dari selatan” cuba mengumpulkan kekuatan untuk menyekat Zahid daripada jadi Presiden Umno. Dalam sibuk ura-ura gerakan dari selatan itulah nama Ku Li muncul sebagai tokoh penyelamat Umno.
Keputusan Hishammuddin Hussein tidak bertanding apa jawatan pun termasuk tidak mempertahankan kedudukannya sebagai naib presiden dibaca sebagai tindakan membuka jalan untuk Umno Johor dan negeri-negeri lain “melanggar” Zahid.
Selepas pindaan perlembagaan Umno pada 2009, pemilihan parti itu tidak lagi terhad dalam kalangan perwakilan bahagian tetapi ahli-ahli di peringkat akar umbi. Namun keputusan bahagian itu, yang jumlahnya sama dengan jumlah kerusi Parlimen di setiap negeri, akan hanya mewakili satu undi.
Umno Johor dengan 26 bahagian kini dikatakan hampir sepakat menolak Zahid, kecuali tiga atau empat bahagian. Umno Negeri Sembilan (8) dan Perlis (3) pun sama. Beberapa bahagian di Wilayah Persekutuan pun dipercayai cenderung tidak mahukan Zahid.
Namun, dalam keadaan tidak mantap begitu pun belum ada tokoh yang boleh diharap muncul ke tengah gelanggang mahu mencabar Zahid – ketepikan saja dulu Mat Umno dari Kota Raja itu.
Dengan latar belakang itu, ada kemungkinan Ku Li petang nanti bukan mahu mengumumkan bahawa beliau tokoh yang boleh diharap untuk jadi putera penyelamat Umno.
Sebelum ini pun, beliau menekankan soal umurnya yang sudah lanjut dan masih ada dalam kalangan generasi semasa yang boleh memberikan kepimpinan yang diharapkan oleh parti.
Ada yang percaya, Ku Li dan Zahid sudah mencapai kata sepakat.
Seorang akan memimpin parti, seorang lagi akan mengetuai Umno di Parlimen sebagai parti pembangkang dengan jumlah kerusi yang terbanyak.
Pemisahan kepimpinan itu tidak memerlukan pindaan perlembagaan atau struktur parti, tetapi ia isyarat pertama yang jelas – dan tegas – bahawa Umno sedang sedia berubah.
Tetapi apa pun pengumuman Ku Li petang nanti – bertanding atau tidak jawatan presiden Umno – ia akan jadi catatan penting dalam sejarah Umno cuba bangkit semula selepas pilihan raya umum ke-14, dan sejarah politik tokoh veteran itu sendiri.– 16 Jun, 2018
Komen