Najib anjur rumah terbuka sederhana, ribuan rakyat ke Putrajaya


Kamles Kumar

BEKAS perdana menteri Najib Razak berkata beliau sedang menyesuaikan diri dengan “realiti baharu” kehidupan di luar kerajaan, ketika kira-kira 500 orang datang ke rumah terbukanya yang sederhana di Pekan, Pahang hari ini.

Rumah terbuka bekas presiden Umno yang tewas itu diadakan di kediamannya hari ini jauh berbeza dengan majlis mewah yang biasanya dianjurkan di Putrajaya ketika menjadi perdana menteri selama sembilan tahun.

“Raya kali ini berbeza rasanya berbanding sebelum ini. Kami tidak lagi berkhidmat dalam kerajaan,” katanya kepada wartawan.

“Kami akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan berkhidmat kepada rakyat yang memberikan kepercayaan kepada kami.”

Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau mahu mengadakan rumah terbuka yang sederhana dan santai, dan gembira dengan tetamu yang tidak begitu ramai.

“Kami mahu mengadakannya secara sederhana berbanding sebelum ini. Saya gembira dengan tetamu yang hadir,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau merindui kehidupan lamanya sebagai perdana menteri, Najib berkata semua orang perlu menyesuaikan diri dengan situasi semasa.

“Rindu bukan persoalannya, anda Cuma perlu sesuaikan diri dengan realiti baharu.”

Di Putrajaya, perdana menteri baharu, Dr Mahathir Mohamad juga mengadakan rumah terbuka Hari Raya hari ini, di mana ribuan rakyat berkumpul di luar Seri Perdana, seawal sebelum jam 9 pagi.

Orang ramai berkumpul untuk melihat Dr Mahathir yang berusia 92 tahun itu dan bergambar dengannya.

Di rumah Najib di Pekan, suasana lebih senyap dengan makanan disediakan untuk tetamu termasuk lemang, rendang, beriyani dan cendol.

Najib, terpaksa menyerahkan kepimpinan kepada Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir selepas kekalahannya pada 9 Mei, dan kini berdepan siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana pembabitannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kediaman Najib di Jalan Langgak Duta dan tiga unit kondominium mewahnya di Pavilion Residences diserbu oleh pihak berkuasa selepas seminggu PH mengambil alih kerajaan persekutuan.

Serbuan di Pavilion Residences berjaya merampas wang tunai RM114 juta dan 284 kotak beg tangan, selain barang kemas dan jam tangan.

Rampasan itu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap Najib berhubung dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Najib dan isteri Rosmah Mansor dilarang meninggalkan Malaysia, dan disoal siasat oleh SPRM berhubung dakwaan pembabitan mereka dengan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, di mana penyiasat percaya ia digunakan untuk memindahkan jutaan dolar ke akaun bank peribadi Najib. – 15 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen