GEREJA Sarawak akan tetap mengadakan “Borneo Revival Healing Rally” di negeri itu selepas perhimpunan sama diadakan tanpa insiden tidak diingini di empat lokasi di negeri jiran Sabah sepanjang dua minggu lalu.
Penganjur himpunan itu di Sarawak pada mulanya membatalkannya selepas acara serupa bertemakan “Jerusalem Jubilee”, diharamkan di Melaka berikutan bantahan beberapa kumpulan Muslim yang mendakwa penganjur tidak sensitif untuk mengadakan program berkenaan pada Ramadan.
Reverend Augustine Saang, jurucakap kepada Good News Ministry, penganjur “Borneo Revival Healing Rally” berkata acara itu akan diadakan di Sarawak.
“Kami lebih suka jika ia tidak dipublisitikan kerana hanya kira-kira 1,000 orang saja yang menghadiri gereja tempatan. Buat masa sekarang, kami akan hanya mengadakan sesi berdoa.
“Ia akan diadakan dan perinciannya sedang dimuktamadkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada masa sekarang acara itu akan hanya diadakan di satu lokasi di Sarawak, bukan seperti di Sabah.
Gereja Sarawak sebelum ini membatalkan acara itu walaupun tidak dibantah oleh kerajaan, menyebabkan Menteri Perpaduan Negara dan Integrasi Joseph Kurup mempersoalkan kenapa acara itu dibatalkan di Sarawak kerana negeri itu mempunyai populasi Kristian yang besar.
Sementara itu, di Keningau, Sabah malam tadi, kira-kira 10,000 hadir di kompleks sukan di bandar itu untuk berhimpun bagi perhimpunan keempat di lokasi terakhir di Sabah sebelum ia bergerak ke Sarawak. Perhimpunan itu sebelum ini diadakan di Telupid, Sandakan dan Ranau.
Pastor Gedion Lamangis berkata mereka mengikuti perkembangan di semenanjung Malaysia di mana individu tertentu mendesak undang-undang mengharamkan evangelical.
“Hak rakyat Sabah terlindung di bawah perlembagaan dan Batu Sumpah Keningau memegang bukti hak Sabah untuk kebebasan beragama,” katanya yang juga pengerusi Interior Prayers Network, satu unit kerja di bawah Majlis Gereja Keningau yang menganjurkan “Borneo Revival Healing Rally”.
Lamangis berkata perhimpunan itu sebahagian daripada aktiviti Majlis Gereja bermatlamat untuk memperbaharui keimanan Kristian.
Pengerusi Majlis Gereja Keningau Pastor John Anthony berkata majlis itu berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah kerana membenarkan acara itu diteruskan.
“Ini kali pertama acara ini diadakan di kompleks sukan. Tahun lepas diadakan di dewan masyarakat Keningau kerana peserta tidak seramai ini,” katanya.
Acara malam tadi dirasmikan setiausaha politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri Stanis Buandi sementara penceramah ialah Saang dan Pastor Shahzad Saddique.
Populasi Sabah lebih tiga juta dan menjadi lokasi kedua terbesar masyarakat Kristian di Malaysia, dengan 853,726 pengikut. – 19 Jun, 2017.
Komen