Amaran Anwar jangan jadi klon BN disokong teguh pemimpin pembangkang


Sheridan Mahavera

Pemimpin Pakatan Harapan kini sedar hanya dengan mengukuhkan perpaduan akan menyakinkan pengundi untuk memilih mereka pada pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2017.

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) hari ini menyokong peringatan Anwar Ibrahim dari penjara yang pakatan pembangkang harus kekal sebagai gabungan di mana semua parti dan pemimpin mempunyai hak sama rata.

Mereka sedar yang cara tadbir urus dan sistem berasaskan konsensus inilah yang berjaya menambat imaginasi pengundi pada 2013 dan memberikan gabungan ketika itu, Pakatan Rakyat, 52% undi popular dalam pilihan raya umum yang lalu.

Dengan melepaskan sebarang tuntutan untuk menjadi calon perdana menteri bagi gabungan itu, Anwar juga memastikan ia lebih mudah bagi parti PH menangani isu yang menjadi kebuntuan mereka dan mensia-siakan modal politik berharga, kata beberapa ahli politik pembangkang kepada The Malaysian Insight.

Mereka yakin mesej Anwar memberi tumpuan kepada gambaran lebih besar untuk mengalahkan BN akan membolehkan PH berada pada landasan yang betul ke arah memenangi hati pengundi.

“Ia satu keputusan yang terpuji di pihak Anwar untuk melakukan ini,” kata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin Mohamed Ariff. 

“Ini membolehkan kami memberi tumpuan semula kepada pengukuhan pasukan dan untuk menyediakan satu alternatif yang boleh dipercayai bagi rakyat pada pilihan raya umum akan datang.”

Penganalisis politik Hisomuddin Bakar berkata, tidak menjadi satu keperluan untuk menamakan bakal perdana menteri kerana rakyat Malaysia cenderung mengundi parti dan bukan individu.

Jadi, sama ada terdapat calon perdana menteri atau tidak, ia tidak begitu penting sebagaimana faktor perpaduan, pakatan padu yang mempunyai sesuatu yang konkrit untuk ditawarkan kepada pengundi, kata Hisomuddin mengenai pengumuman Anwar.

“Walaupun anda menamakan calon perdana menteri dan dia kehilangan kerusinya, dia masih tidak boleh menjadi PM. Ini adalah mengapa akhirnya gabungan menjadi lebih penting,” kata Hisomuddin, pengarah eksekutif Ilham Centre.

Dalam pengumuman mengejutkan semalam, Anwar mengumumkan beliau tidak lagi berminat menjadi calon perdana menteri bagi gabungan itu.

Keputusan itu bertujuan untuk mengurangkan ketegangan disebabkan isu itu dalam tempoh beberapa minggu lalu di kalangan rakan PH, Bersatu, Amanah, DAP dan PKR.

Anwar dikatakan dicalonkan, bersama-sama Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Muhyiddin Yassin, serta isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai calon perdana menteri.

Bahagian kedua mesej Anwar adalah seruan kepada PH untuk mengekalkan pendekatan konsensus bagi membuat keputusan. Beliau bimbang dengan keinginan sesetengah pihak memperkenalkan pendekatan BN yang memberikan status lebih tinggi kepada pihak tertentu.

Dalam BN, pemimpin utama Umno memegang jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi.

PH sebaliknya, mengamalkan satu sistem di mana semua pihak adalah ahli dan keputusan bersama dibuat melalui persetujuan sebulat suara pada Majlis Presiden.

PH dikritik kerana taksub dengan kedua-dua isu, perbalahan tentang siapa calon perdana menteri dan struktur kepimpinan pakatan itu, yang perlu dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Perbincangan dua isu ini menjadi tidak kerua, kata Naib Presiden PKR Chua Tian Chiang.

“Entah bagaimana perdebatan bertukar mengenai siapa yang mahu menjadi PM, tetapi Anwar mengingatkan kita ia bukan mengenai perkara itu sebenarnya,” kata Chua, yang juga dikenali sebagai Tian Chua.

Mesej Anwar juga adalah peringatan yang PH berjaya dalam pilihan raya umum 2013 kerana berbeza daripada BN, kata seorang lagi Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Mesej mengenai pendekatan konsensus adalah lebih penting daripada tentang siapa yang akan menjadi perdana menteri,” kata Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan.

“Kami berjaya pada 2013 kerana kami menawarkan model yang tadbir urus berbeza daripada BN dan kerana platform dasar kami.

Rais Hussin daripada Bersatu pula berkata partinya juga komited kepada pendekatan berasaskan konsensus demokrasi dalam Majlis Presiden PH.

Amanah berkata ia menerima keputusan Anwar untuk melepaskan sebarang tuntutan untuk menjadi calon perdana menteri, tetapi timbalan parti Salahuddin Ayub berkata PH masih akan menunaikan janji untuk membebaskan Anwar apabila berjaya memperoleh kuasa di peringkat persekutuan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat pembantunya, caj yang didakwa beliau dan pembangkang sebagai palsu dan bermotifkan politik. – 14 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen