PERDANA Menteri Najib Razak hari ini menyeru penggiat seni supaya memainkan peranan dalam isu tangani gengsterisme dan buli.
Najib berkata negara bukan saja mahu membangunkan lebuh raya canggih, kereta api berkelajuan tinggi dan bangunan pencakar langit, tetapi mahukan sebuah nilai tamadun yang tinggi nilai murninya.
“Sehari dua ini, gengsterisme dan buli menjadi perhatian masyarakat. Saya harap tuan-tuan dan puan-puan boleh memainkan peranan masing-masing daripada segi kemanusiaan yang lebih mulia dalam masyarakat.
“Di sinilah penggiat seni boleh bantu kita supaya asas tamadun masyarakat kita ini boleh diletakkan dengan lebih mulia dalam masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada majlis buka puasa bersama penggiat seni di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Sejak akhir-akhir ini, masyarakat digemparkan dengan beberapa kes buli di peringkat sekolah dan universiti tempatan.
Minggu lalu T.Nhaveen, 18, dari Pulau Pinang koma akibat dipukul sekumpulan remaja lelaki pada Jumaat lalu dan meninggal dunia beberapa hari kemudian.
Pada 23 Mei, 10 pelajar MRSM Parit, Perak ditamatkan pengajiannya kerana membuli enam pelajar tingkatan dua hanya kerana mangsa tidak mahu meminjamkan kasut bola.
Seminggu selepas itu, negara dikejutkan dengan kematian pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Zulfarhan Osman Zulkarnain yang diseksa kerana dituduh mencuri komputer riba.
Pada masa sama, Najib berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberi peruntukan rumah mampu milik kerajaan PR1MA kepada golongan penggiat seni, budayawan dan sasterawan.
“Saya juga bersedia untuk meminta rumah PR1MA – rumah mampu milik untuk diperuntukkan kepada golongan penggiat seni, budayawan dan sasterawan kita. Dan ia boleh dipertimbangkan dari masa ke masa,” katanya.
Najib berkata hasil wacana dialog TN50 pada bulan lalu, kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersetuju untuk mewujudkan kuota khas untuk penggiat seni terutamanya golongan veteran mendapatkan kemudahan rumah melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) di Simpang Dua dan Kepong, Selangor. – 18 Jun, 2017.
Komen