DBKL tunggu lampu hijau untuk roboh restoran Jamal, kata datuk bandar


Noel Achariam

Jamal Md Yunos sudah merayu kepada PPTGWKL untuk menangguhkan rancangan untuk menutup restoran yang dikendalikannya sejak Oktober tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2018.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menunggu “lampu hijau” daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWKL) untuk merobohkan restoran kendalian Jamal Md Yunos, kata Datuk Bandar Mohd Amin Nordin Abdul Aziz.

Beliau berkata DBKL akan membantu PPTGWKL untuk merobohkan Restoranan Gabungan NGO 1Malaysia (RGN1M) yang terletak di Jalan Pahang itu.

“Kami akan ambil tindakan selepas kami mendapat arahan daripada PPTGWKL”

“Setakat ini kami masih belum menerima apa-apa surat atau arahan daripada PPTGWKL,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PTG sudah mengeluarkan notis pengusiran pada Jun kerana mendapati restoran itu didirikan di atas tanah kerajaan.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu diberi tempoh sehingga 18 Jun untuk mengosongkan premis tersebut dan berdepan denda sehingga RM500,000 dan hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Amin berkata akan melakukan perobohan sejurus mendapat arahan.

“Mereka beroperasi secara haram di atas tanah PPTGWKL dan mereka sudah mengeluarkan notis. Maka dengan itu, mereka harus keluar.

“Apabila kami melakukan perobohan nanti PPTGWKL akan turut sama berada di lokasi.”

Jamal sudah merayu kepada PPTGWKL untuk menangguhkan rancangan untuk menutup restoran yang dikendalikannya sejak Oktober tahun lalu.

“Saya meminta jasa baik pihak Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk memberi penangguhan sehingga waktu yang lebih sesuai.

“Penangguhan tersebut atas dasar memberi ruang dan masa untuk pihak kami melakukan proses mencari lokasi baharu untuk pemindahan barang serta peralatan di RGN1M Jalan Pahang kini.

“Selain itu juga, para petugas di RGN1M Jalan Pahang telah pun mula bercuti untuk menyambut Hari Raya yang dijangka pada Jumaat ini,” katanya.

Jamal juga berkata restoran tersebut dibuka dengan tujuan untuk memberi makanan tengah hari percuma kepada warga kota bagi meringankan bebanan seharian mereka.

“Pihak kami tidak pernah sesekali mengambil sebarang keuntungan sepanjang RGN1M ini beroperasi.” – 13 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen