KERAJAAN perlu memperbaharui proses pelantikan hakim sebelum melantik pengganti Ketua Hakim Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Makinuddin yang meletak jawatan berkuat kuasa 31 Julai ini, kata para peguam.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini, Raus dan Zulkefli mengemukakan surat peletakan jawatan mereka bertarikh 7 Jun kepada Yang di-Pertuan Agong.
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berperanan dalam pelantikan hakim-hakim dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan serta pelantikan Ketua Hakim, Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua Hakim Negara dan Ketua Hakim Negara Sabah dan Sarawak.
Ketika ini JAC terdiri dari empat pemegang jawatan tertinggi itu bersama seorang hakim Mahkamah Persekutuan serta empat individu terkemuka lain yang dilantik oleh perdana menteri.
Bagaimanapun, para peguam mengatakan JAC tidak mempunyai perwakilan seimbang dari kalangan peguam dan memberi perdana menteri - yang tidak terikat dengan cadangan JAC - terlalu banyak pengaruh dalam penamaan calon hakim.
“Seperti yang dinyatakan, JAC tiada wakil dari Badan Peguam, Jabatan Peguam Negara, Persatuan Peguam Bela Sarawak dan Pertubuhan Undang-Undang Sabah,” kata peguam Perlembagaan, Syahredzan Johan kepada The Malaysian Insight.
“Maka, PM perlu pertimbang untuk merombak komposisi JAC untuk menyertakan wakil-wakil ini.
“Dalam mana-mana keadaan, PM perlu mendapatkan maklum balas dari badan-badan ini sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan pelantikan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan baharu,” katanya.
Seorang lagi peguam Perlembagaan, Surendra Ananth berkata terdapat dua “masalah” dengan sistem sekarang ini.
“Ada terlalu ramai dalam JAC. Model JAC UK adalah yang paling baik untuk dijadikan contoh. Ia mempunyai campuran baik peguam, hakim, ahli akademik dan ahli masyarakat sivil,” katanya.
“Malah, perdana menteri juga tidak perlu terlibat apabila melantik anggota JAC. Ini bertentangan dengan matlamat untuk menegakkan kebebasan badan kehakiman.” – 13 Jun, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen