Sebulan Pakatan jadi kerajaan, 4 janji tertunai, tinggal lagi 6


Chan Kok Leong

Pakatan Harapan umum 10 janji dalam manifestonya menjelang PRU14 dan setakat ini empat janji ditunaikan termasuk pemansuhan GST. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2018.

DALAM tempoh sebulan sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya, kerajaan baharu itu menunaikan empat daripada 10 janjinya kepada rakyat Malaysia sebelum PRU14 sebagai ikrar untuk 100 hari pertamanya berkhidmat.

Beberapa janji lain, sebahagiannya dipenuhi atau pengumuman sudah dibuat dengan ada yang terpaksa ditangguh sehingga keadaan kewangan negara pulih.

Antara janji yang dipenuhi ialah kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan PH pada 1 Jun.

Ia masih perlu mendapatkan pengesahan undang-undang, dan Parlimen akan mula bersidang pada 16 Julai, tetapi GST kadar sifar sudah pun memansuhkan cukai pengguna sekali gus.

Antara janji lain yang sedang ditunaikan ialah membuka semula siasatan terhadap skandal kewangan, khususnya kecurian berbilion ringgit daripada syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd.

PH berjanji menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat entiti dikaitkan dengan skandal seperti Felda, MARA dan Tabung Haji, selain 1MDB.

Tetapi setakat ini tidak ada berita tentang penubuhan RCI, tidak untuk 1MDB pun, walaupun siasatan terhadap syarikat pelaburan diasaskan oleh bekas perdana menteri Najib Razak itu sedang giat dijalankan.

Janji ketiga ialah menyemak semula projek mega seperti kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura, Landasan Kereta api Pantai Timur (ECRL) dan MRT3.

Sementara MRT3 dibatalkan, projek lain masih dikaji kerana kerja-kerja pembinaan ECRL sudah mencapai 20% siap sementara HSR membabitkan pematuhan kontrak bersama Singapura.

Kerajaan juga sedang menyediakan potongan caruman KWSP untuk suri rumah selepas ia mengarahkan dana itu menambah potongan 2% lagi daripada pasangan yang bekerja.

Berkenaan subsidi minyak, kerajaan PH belum melaksanakan apa-apa walaupun ia sudah menstabilkan harga jualan petrol RON95 pada RM2.20 dan diesel RM2.18 seliter, sementara harga untuk RON 97 diapungkan.

Janji lain seperti membatalkan pinjaman Felda dan pelajar dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), menaikkan gaji minimum RM1,500, Perjanjian Malaysia dan skim kesihatan untuk kumpulan berpendapatan B40 untuk mendapatkan rawatan perubatan swasta masih dikaji.

Memenuhi janji-janji itu akan bergantung pada bagaimana kerajaan menguruskan kewangannya kerana ia melaksanakan langkah penjimatan kos dan mencari sumber hasil baharu.

Lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke Jepun, yang pertama selepas menjawat jawatan sebagai perdana menteri PH, terikat dengan pengurusan fiskal kerajaan.

Di Jepun, Dr Mahathir berjaya mendapatkan kerajaan Shinzo Abe untuk mempertimbangkan membantu Malaysia membiayai semula hutangnya dengan kredit yen, dan juga mewujudkan semula dasar Pandang ke Timur yang akan membuka lebih banyak laluan untuk pelaburan dan kerjasama Jepun. – 13 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen