Sempena Aidilfitri, imam, bilal, tok siak dan guru Kafa terima RM400


Looi Sue-Chern

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan perkara itu pada majlis berbuka puasa bersama kariah Masjid Jamek Kubang Buaya, Butterworth sebentar tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 12 Jun, 2018.

PUTRAJAYA memberikan Bantuan Aidilfitri bernilai RM400 kepada imam, bilal, tok siak dan guru Kafa, umum Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim mengatakan perkara itu diarahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sempena Aidilfitri yang akan dijangka disambut Jumaat ini.

“PM sudah arahkan tok imam, tok bilal, tok siak dan guru Kafa diberikan wang tunai RM400 sebagai Bantuan Hari Raya.

“Sama seperti yang diterima penjawat awam…jadi saya kena pergi cari duit,” katanya sebelum menyertai kariah Masjid Jamek Kubang Buaya, di Butterworth di kawasan Parlimennya, Bagan berbuka puasa sebentar tadi.

Lim mengatakan beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi esok.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga bercakap tentang kerja barunya di Putrajaya, hutang RM1 trilion negara, langkah fiskal diambil kerajaan, termasuklah pemotongan 10% gaji menteri.

“Kita juga hapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan tanpa mufliskan Malaysia. Kita juga akan terus beri BR1M, tetapi guna nama baharu- Bantuan Sara Hidup Rakyat.

“Kita standardkan harga RON95…kita berterima kasih kepada rakyat kerana beri kerajaan sokongan untuk melaksanakan tindakan ini,” katanya. – 12 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen