ARENA politik Sabah tidak terkejut dengan keputusan empat parti Sarawak meninggalkan Barisan Nasional dan ramai antara mereka turut meluahkan hasrat untuk membentuk Blok Borneo dengan Sarawak.
Ahli politik Sabah mengatakan pembentukan blok itu akan memberi kelebihan kepada kedudukan Malaysia Timur selaku pemerintah bersama Persekutuan Malaysia.
Menurut Presiden Star Sabah Dr Jeffrey Kitingan, keputusan Sarawak menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkongsi matlamat yang sama dengan Gabungan Bersatu Sabah.
Kedua-duanya tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan dibentuk untuk melindungi kepentingan negeri seperti termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
“Ia rancangan yang baik. Sekarang kita boleh bentuk Blok Borneo. Lebih mudah untuk bercakap bila tiada lagi sebab untuk berbincang dengan rakan Semenanjung untuk buat keputusan.
“Kita buat mesyuarat malam tadi dan Gabungan Bersatu Sabah merancang untuk berjumpa dengan parti GPS selepas cuti Hari Raya,” katanya.
“Saya percaya mereka (pemimpin Sarawak) akan berbincang dengan kami walaupun ada kes mahkamah sedang berjalan mengenai kesahan ketua menteri dan hak membentuk kerajaan Sabah,” kata Jeffrey lagi merujuk kepada kes kesahan kerajaan negeri sekarang yang diterajui Warisan.
Penubuhan Gabungan Bersatu Sabah bagaimanapun masih menunggu keputusan Pengerusi BN Musa Aman yang menghilangkan diri sejak 14 Mei.
Tanpanya, semua ahli Umno tidak boleh menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk membentuk parti baru digelar PBS Plus.
Langkah itu akan menyebabkan Umno terhapus di Sabah apabila PBS Plus diketuai Joseph Pairin Kitingan menandatangani perjanjian kerjasama dengan Star diketuai Jeffrey untuk membentuk pakatan baru menggantikan BN di negeri itu. – 12 Jun, 2018.
Komen