Sistem UPNM akan dirombak jika perlu, kata menteri 


Nabihah Hamid

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein Onn berkata UPNM dan Akademi Latihan Ketenteraan perlu bertanggungjawab dengan kes kematian pelajarnya pada majlis taklimat Pilihan Raya Umum di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Jun, 2017.

TERDAPAT kemungkinan sistem yang digunakan Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM) dirombak jika didapati wujud keperluan berbuat demikian, kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

“Saya ambil serius mengenai isu ini. Saya mahu UPNM dan Akademi Latihan Ketenteraan kita bertanggungjawab serta lihat jika perlu rombak sistem di UPNM. Mereka tidak boleh lepas tangan.

“Mereka (jawatankuasa) akan cadangkan kepada menteri pertahanan (untuk sistem rombakan) dan saya akan maklumkan kepada orang ramai.

“Kenyataan beliau ini adalah merujuk kepada sistem UPNM susulan kejadian buli yang membawa kepada kematian pegawai kadet laut, Zulfarhan Osman. 

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lebih terperinci mengenai sistem tersebut. 

Pada 2 Jun lalu, Bernama melaporkan satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat kematian pelajar tahun tiga itu pada 1 Jun akibat melecur 80% di badannya. 

Kini, lima suspek didakwa di mahkamah atas kesalahan menyebabkan kematian mangsa, dan seorang lagi tuduhan bersubahat manakala 13 pelajar lain dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan.

Menurut portal rasmi UPNM, sejarah universiti tersebut bermula dengan penubuhan Akademi Tentera Malaysia (ATMA) pada 1 Jun 1995.

Peranan ATMA kemudian diperluaskan dengan menjadikannya sebagai UPNM pada 10 November 2006. – 18 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen