Cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim belum diterima, kata menteri


Melati A. Jalil

Menteri Pengangkutan Anthony Loke juga memberitau kerajaan masih belum menerima sebarang permohonan rasmi dari Berjaya Groups mengenai rancangannya untuk membina lapangan terbang di Pulau Tioman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2018.

KEMENTERIAN Pengangkutan masih belum menerima sebarang cadangan mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang diperjuangkan oleh kerajaan Kedah di bawah Barisan Nasional (BN) dahulu, kata menteri Anthony Loke.

“Tiada cadangan diberi kepada Kementerian Pengangkutan.

“Tiada cadangan khusus mengenai lapangan terbang Kulim. Saya telah meneliti semua projek kementerian dan tidak ada projek (lapangan terbang) di Kulim,” beliau memberitahu media ketika ditanya sama ada Pakatan Harapan (PH) sedang mengkaji projek berkenaan.

Pada Ogos lepas, kerajaan BN di Kedah berkata ia komited untuk membina lapangan terbang tersebut dan sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan kerajaan Persekutuan.

Menurut laporan News Straits Times pada 17 Ogos 2017, pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri, Tajul Urus Mat Zain memberitahu Dewan Undangan Negeri Kedah bahawa perunding projek iaitu KLIA Consultancy Services Sdn Bhd telah membentang pelan ruang udara bagi KXP kepada menteri pengankutan ketika itu, Liow Tiong Lai.

Laporan NST menyebut, pelan itu diberi kepada Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada 25 Mei 2017 dan Kementerian Pengangkutan serta pihak berkuasa berkaitan telah menjalankan ujian kebolehlaksanaan bagi projek itu tahun lepas.

Loke juga memberitau kerajaan masih belum menerima sebarang permohonan rasmi dari Berjaya Groups mengenai rancangannya untuk membina lapangan terbang yang menelan kos RM1.2 bilion di Pulau Tioman, Pahang.

“Ia cuma pengumuman di media kerana bagi Kementerian Pengangkutan, kita masih belum menerima sebarang permohonan dari Vincent Tan (ketua Kumpulan Berjaya) atau cadangan mengenai lapangan terbang Pulau Tioman,” kata Loke.

Baru-baru ini Tan mengumumkan syarikatnya akan mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan dan pembinaan lapangan terbang itu akan dibiaya oleh Berjaya.

“Kita sedang merancang projek infrastruktur baharu ini dan akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

“Kita tak akan membebankan kerajaan kerana saya fikir sesiapa sahaja yang mahu menjalankan projek infrastruktur perlu mencari pembiaya sendiri dan bukan hanya minta dari kerajaan,” Tan dipetik sebagai berkata. – 12 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen