DAP terpempan dengan keputusan Anwar Ibrahim untuk menarik diri sebagai calon perdana menteri untuk Pakatan Harapan (PH), kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP itu berkata partinya tidak tahu mengenai keputusan Anwar, sehinggalah pengumuman itu.
“Ini (pengumuman) kali pertama saya dengar perkara ini. Saya tidak tahu. Kami tidak diberitahu.
“Pendirian kami kekal sama. Kami sokong Anwar sebagai calon PM.
“Saya fikir bagi PKR, Kak Wan (presiden PKR dan isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail) yang berhak komen keputusan ini,” katanya.
Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri program i-Sejahtera di Seberang Jaya, hari ini.
Dr Wan Azizah turut menghadiri program itu tetapi pulang sebelum Lim tiba dan beliau tidak bertemu dengan media.
Anwar yang juga ketua umum PKR semalam mengumumkan menarik diri sebagai calon perdana menteri PH ketika gabungan pembangkang bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon perdana menteri,” kata Anwar dalam satu kenyataan semalam
Beliau berkata PH kini perlu memberi fokus kepada pilihan raya umum akan datang dan semua isu sampingan lain seperti muslihat perebutan kuasa dan kedudukan atau keterlanjuran kata kurang sopan perlu dihentikan.
Pengumuman itu tepat pada masanya ketika PH bergolak dalam pertikaian kepimpinan mengenai siapa yang patut mengetuai gabungan itu pada PRU14.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat. Mustahil baginya bertanding pada PRU akan datang.
Baru-baru ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 menawarkan diri untuk kembali bertugas jika ada kata sepakat daripada semua pemimpin PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu. – 18 Jun, 2017.
Komen