DASAR Pakatan Harapan (PH) akan membuka jalan ke arah rakyat Malaysia yang tidak membezakan warna kulit dan agama, kata peguam terkenal Syahredzan Johan.
Setiausaha politik Lim Kit Siang yang baharu dilantik itu berkata, selepas kemenangan PH, terdapat beberapa contoh yang membuktikan rakyat Malaysia bersatu.
“Saya fikir kemenangan pilihan raya PH memecah beberapa halangan atau rintangan keagamaan, walaupun lebih banyak kerja perlu dilakukan.
“Kita boleh bergembira dengan banyak contoh kebersamaan rakyat pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), contohnya, mengenai laporan berbuka puasa pelbagai kepercayaan di tempat-tempat seperti Petaling Jaya dan Pulau Pinang.
“Saya fikir dengan ini, kerajaan menggalakkan interaksi seperti itu, kita boleh pergi jauh untuk menghilangkan sebarang halangan yang masih ada,” kata peguam berusia 35 tahun itu kepada The Malaysian Insight.
Syahredzan berkata beliau menerima tawaran menjadi setiausaha politik Lim kerana mahu membantu kerajaan memecahkan sempadan antara kaum, terutamanya di kalangan orang Melayu.
“Ini adalah untuk membantu parti dan Kit Siang merapatkan jurang itu, sekiranya ada, antara parti dan rakyat Malaysia, serta orang Melayu.
“Saya mahu membantu parti sebanyak yang boleh supaya semua ini dapat memastikan Malaysia baharu berjaya.”
Walaupun ayahnya merupakan bekas pengerusi Media Prima, Syahredzan berkata, ibu bapanya memberi beliau kebebasan memilih jalan politik yang dipilihnya.
“Bapa saya (Johan Jaaffar) sentiasa menyokong apa yang saya lakukan. Beliau juga tahu saya menyokong untuk PH dalam PRU14, jadi saya rasa ia natural bagi saya terjun ke dalam politik.”
Syahredzan dikenali sebagai perunding dalam kes melibatkan kepentingan awam, terutama yang berkaitan dengan hak asasi manusia dan undang-undang Perlembagaan.
Beliau muncul sebagai peguam dalam beberapa kes berprofil tinggi, termasuk kes pelukis Fahmi Reza yang melukis karikatur bekas perdana menteri Najib Razak. – 12 Jun, 2018.
Komen