TEKANAN dan tidak mampu menangani keadaan dalam masyarakat moden adalah antara faktor menyebabkan peningkatan kes buli dengan elemen keganasan yang mengerikan, kata pakar psikologi Dr Mariani Mohamad Nor.
Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) itu berkata kesihatan mental pembuli juga biasanya tidak stabil, seperti terbukti menerusi ketidakmampuan mereka mengawal emosi dan membezakan antara yang betul dan salah, menyebabkan mereka menyakiti mangsa.
“Manusia sekarang ini terutamanya belia, sikap kehaiwanan makin menebal. Ini kerana tidak ada rasa belas kasihan daripada diri,” katanya.
Dr Mariani berkata dalam kes T. Nhaveen, 18, yang meninggal dunia pada Khamis akibat kecederaan diserang secara fizikal dan seksual, mungkin berpunca daripada sikap tidak puas hati yang berterusan.
“Sebenarnya kemungkinan berlaku, pembuli sudah diberi hukuman. Jadi itu menyebabkan rasa tidak puas hati dan geram,” katanya.
Nhaveen, dari Pulau Pinang yang koma akibat dipukul sekumpulan remaja lelaki pada Jumaat lalu meninggal dunia.
Media melaporkan ia bukanlah kali pertama dilalui mangsa kerana sebelum ini dia pernah mengadu sering diganggu pembuli yang juga bekas rakan sekolahnya.
Dr Mariani berkata pembuli mungkin berdepan tekanan merangkumi pelbagai aspek sama ada ekonomi, persaingan sebaya dan sosial.
Malah, katanya pembuli juga terjejas kesihatan mental kerana berfikir separa sedar selain tidak mampu mengawal tindakannya menganiaya mangsa buli.

“Kita lihat puncanya kecil tetapi sebenarnya ia keperluan asas manusia. Mereka (pembuli) hendak kasut bola tak dapat. Pinjam kawan tidak bagi dan timbul perselisihan faham.
“Kalau pelajar universiti pula, komputer riba diperlukan. Mungkin mereka perlu buat pembentangan. Pelajar mungkin juga terbeban dengan kertas kerja. Apa saja punca akan menimbulkan tekanan dan stres.
“Jadi semua ini keperluan asas yang manusia mahukan. Peringkat tertentu yang memantau perlu memastikan kemudahan asas cukup untuk mengelakkan punca,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Akhir-akhir ini, masyarakat digemparkan dengan beberapa kes buli di peringkat dan universiti tempatan.
Pada 23 Mei, 10 pelajar MRSM Parit, Perak ditamatkan pengajiannya kerana membuli enam pelajar tingkatan dua hanya kerana mangsa tidak mahu meminjamkan kasut bola.
Seminggu selepas itu, negara dikejutkan dengan kematian pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Zulfarhan Osman Zulkarnain yang diseksa kerana dituduh mencuri komputer riba.
Semangat kekitaan digunakan secara negatif
Dr Mariani berkata selain semangat bersaing, kumpulan pembuli dikatakan mempunyai semangat kerjasama dan kekitaan yang tinggi.
“Tapi sayangnya, semangat itu digunakan secara negatif. Ini persekitaran yang tidak sihat. Bila buli berlaku, ia menjadi lebih teruk apabila melibatkan kumpulan lebih besar.
“Mereka ada semangat kekitaan yang tinggi. Ia semangat yang baik tetapi disalah guna. Sikap ini patutnya digunakan dengan perkara yang baik,” katanya.
Kaunseling berkala cegah buli
Pakar motivasi dan kaunselor Hushim Salleh berkata kaunseling bersiri perlu diadakan kepada individu bermasalah.
Beliau berkata sesi kaunseling mempunyai beberapa peringkat iaitu sesi penyuburan, pengembangan pencegahan dan pemulihan.
“Penyuburan ini misalnya sesi didikan keluarga di peringkat awal kanak-kanak. Manakala pengembangan ini pula merupakan terapi kaunseling secara berkumpulan. Kami kenal pasti beberapa kumpulan kecil kalangan pelajar,” katanya.
Katanya, pelajar bermasalah yang dikenal pasti akan menjalani sesi pencegahan dan kemudiannya pemulihan.
Antara ciri individu adalah masalah disiplin, ponteng, tidak buat kerja sekolah dan terlibat pergaduhan.
“Perlu pencegahan dan kenal pasti. Program pemilihan akan mengenal pasti masalah dan latar belakang.
“Pembuli perlu dirawat oleh pakar dalam program pemulihan kerana mereka sudah memukul orang dan sebagainya. Ia alternatif terakhir. Individu akan diberi nasihat dan siasatan latar belakangnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Statistik KPM tahun lalu mendapati kes salah laku kalangan pelajar di sekolah menurun daripada 0.08% pada 2013 kepada 0.06% pada 2015.
Rekod menunjukkan kes buli di sekolah pada 2012 sebanyak 4,159 kes, 2013 (4,120 kes), 2014 (2,825 kes) dan 2015 (2,968 kes).
Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid ketika mengulas kes buli di sekolah berkata tindakan lebih keras seperti gantung serta-merta akan dilaksanakan berdasarkan peraturan sedia ada.
Mahdzir berkata tindakan menggantung persekolahan pelajar terbabit berkuat kuasa serta-merta setelah jawatankuasa disiplin Jabatan Pendidikan mendapati ada bukti penglibatan pembuli. – 18 Jun, 2017.

Komen