JIKA anda gilakan “raja buah”, maaf kami ada berita buruk. Akan semakin sukar mendapatkan “raja kepada raja buah” – musang king.
Dan jika anda berjaya jumpa sebiji dua sekalipun, sila jangkakan harganya ialah antara RM60 dan RM100 sekilogram.
Harga itu, iaitu ketika bukan musim buah, akan menjadi harga biasa bagi musang king. Malah, pilihan lain yang lebih rendah seperti “D24”, “udang merah”, “kampung” dan “tembaga” juga harganya semakin naik.
Pekebun durian juga mengalami “durian runtuh” paling hebat dalam sejarah berikutan permintaan bertambah dari China dan teknologi pembekuan yang lebih baik menyebabkan harganya meningkat.
Dicampur pula dengan musim hujan tahun ini, yang menyebabkan hasil tuaian berkurangan, menaikkan lagi harga buah berduri itu.
Gerai tepi jalan di Raub, Pahang – kawasan penanaman durian terbesar di negara ini – mengenakan caj RM88 sekilogram bagi musang king saiz sederhana, pada minggu lalu.
Musang king AAA iaitu kualiti eksport, boleh mencecah RM128 sekilogram, sementara musang king kecil dijual RM68 sekilogram.
Permintaan dan harga luar biasa musang king itu, kata orang dalam industri mungkin akan menyebabkan buah itu menerima nasib sama seperti harum manis, buah mangga popular yang hanya tumbuh di Perlis.
Bekalan terhad harum manis dan permintaan tinggi dari Jepun menyebabkan 90% hasil tanaman itu dieksport.
“Zaman durian longgok sudah berlalu. Tidak ada lagi jualan “tiga RM10”,” kata Eddy Yong, pekebun dan pemilik kebun durian di Raub.
“Setiap jenis kini dijual ikut kilogram, termasuk durian kampung.”
Faktor China
Pekebun dan penjual yang ditemui The Malaysian Insight berkata harga yang tinggi itu kemuncak kepada pemasaran agresif dilakukan kerajaan selama bertahun-tahun, menyebabkan permintaan bertambah dari China dan teknologi pembekuan.
Pada zaman dulu, pekebun berdepan keadaan lebih sukar, kata Tham Kong Weng pemilik kebun dari Kuala Lumpur.
Tham berkata oleh sebab buah itu hanya bertahan sehari dua saja, buah perlu dijual dengan cepat.
“Sebab itu dulu banyak durian dijual longgok,” katanya.
Harga akan naik bila bekalan kurang dan harga turun bila berlaku lambakan.
Tetapi bermula pada 2010, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mula mengetuai delegasi ke China mempromosikan durian Malaysia terutama jenis musang king, kata Tham.
Menjelang 2015, promosi itu berjaya. Permintaan dari China memuncak, terutama bagi musang king.
“Tahun itu menyaksikan bagaimana harga tidak berkait dengan bekalan. Ia akan kekal stabil kerana permintaan berterusan dari China sama ada sedang musim atau tidak,” katanya.
Permintaan dari China bukan saja untuk musang king, yang akan dibekukan dan ribuan dihantar ke sana. Malah isi durian juga dihantar untuk dijadikan inti pastri dan ais krim, yang datang daripada jenis lebih murah, turut mendapat permintaan tinggi dari China.
Pasaran berkembang
Pada tahan jalanan, ia diterjemahkan kepada bekalan sedikit dan harga tinggi bagi penggemar durian di Malaysia, kata peniaga gerai Allen Sia dan Eng Lip Siew di Raub.
“Bagi setiap 100 musang king yang dikutip di Raub, 60 daripadanya akan dihantar ke China. Baki 40 biji akan direbut pemborong Malaysia dan Singapura,” kata Eng.

Tetapi walaupun harga melebihi RM80 sekilogram bagi musang king saiz sederhana, pelanggan tidak pernah putus berhenti di kedai tepi jalan milik Sia dan Eng.
“Pelanggan datang dari Johor dan Singapura untuk makan di sini, terutama pada hujung minggu. Kami akan terima pelanggan dari Kuala Lumpur membawa pulang durian bernilai ratusan ringgit.
“Mereka masih sanggup membayar walaupun harga tinggi,” kata Sia yang berniaga durian sejak 17 tahun lalu.
Permintaan tinggi dari China juga menyebabkan pelabur memburu mereka yang berminat untuk menjual kebun durian mereka, kata Yong yang mengendalikan kebun seluas 10 ekar yang terkenal dengan bufet durian RM130 seorang.
Separuh daripada pelanggan luar negara Yong dari China, yang akan menempah penginapan berhampiran Raub untuk mencuba rasa musang king, udang merah dan tekar.
Tham berkata dianggarkan jika pemilik tanah mula menanam durian di kebun seluas empat ekar tahun ini, mereka akan mendapat pulang selepas lima tahun apabila mengutip hasil pertama.
“Itu pun jika harga semasa terus kekal. Saya skeptikal dengan perkara ini tetapi ramai percaya ia akan kekal kerana pasaran China masih gemarkannya. Jadi permintaan mungkin akan naik lagi,” katanya.
Sia menganggarkan musang king dijual pada harga RM150 sekilogram di pusat beli-belah China.
Peniaga sepertinya dan Eng bagaimanapun tidak mengaut keuntungan besar kerana bagi mereka walaupun musang king RM80 sekilogram, margin keuntungan mereka masih hanya 10%.
“Pekebun yang menerima manfaat terbesar kerana bekalan selalu terhad dan permintaan daripada mereka yang mahu mengeksportnya ke China tinggi,” kata Eng, menambah pokok durian sangat cerewet dan memerlukan dua minggu cuaca panas bagi membolehkan putiknya menjadi buah.
Pekebun boleh menetapkan harga kerana pasaran luar negara sentiasa bersedia mengambil hasil buah mereka.
“Ia berita buruk untuk pengguna tempatan tetapi baik untuk pekebun dan ekonomi,” kata Tham. – 18 Jun, 2017.
Komen