SEMENTARA masih banyak soalan dibangkitkan sama ada bukan Islam boleh berbuka puasa bersama umat Islam atau tidak, sekumpulan rakyat Malaysia berbeza bangsa dan agama mengadakan program sahur dan perhimpunan buka puasa di Kuala Lumpur semalam.
Sekumpulan 20 orang berkumpul di restoran Pelita di Bangsa pada jam 4 pagi untuk memberi sokongan kepada kempen yang bermatlamat untuk menyatukan negara menerusi “Puasa untuk Malaysia”.
Aktivis terkemuka dan peguam Ambiga Sreenevasan antara yang turut serta, dan ia bukan kali pertama beliau menyertainya.
Ambiga berkata seronok menyertai rakan beragama Islam yang lain bersahur dan berbuka kerana ia sebagai simbol Malaysia dan nilai positif yang dibawa pada masa depan sebagai negara bersatu.
“Apa yang seronok ialah anda tidak perlu melakukannya di satu tempat saja kerana boleh mengadakannya dalam kumpulan dan masyarakat kecil sendiri.
“Ia baik untuk keakraban rakyat Malaysia, sesuatu yang sangat diperlukan dan kita perlu rasa ada sesuatu yang positif untuk dicari,” katanya.
Ambiga berkata beliau percaya jumlah peserta akan meningkat apabila kempen itu menjadi acara tetap.
Mengulas mengenai protes yang menentang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menghadiri acara buka puasa, Ambiga berkata bantahan itu mengarut dan tidak mewakili semangat Malaysia.
“Kita perlu ada kekuatan dan keberanian untuk mengabaikan perkara seperti itu dan teruskan dengan apa yang kita percaya,” katanya.
Apabila kumpulan itu mula beransur pulang pada 5 pagi, usahawan berpangkalan di Melbourne, Jason Lee berkata dia gembira dapat bertemu mereka yang sealiran pemikiran dan berkumpul menunjukkan solidariti untuk mengekalkan keharmonian dalam negara.
“Ini kali pertama saya menghadiri kempen seperti ini di Malaysia. Saya datang tanpa kenal sesiapa pun tetapi saya lihat ia sekumpulan individu yang menarik dan saya gembira menyertai mereka,” kata Lee.
Lee mengetahui mengenai kempen itu apabila salah seorang koordinator program Rev Dr. Sivin Kit berkongsi posting mengenai kempen itu di Facebook pada 2009. Pada masa itu dia menganjurkan kempen Puasa untuk Malaysia di Melbourne ketika masih bergelar pelajar.
“Saya ajak rakan bersama untuk puasa dan kami juga menggalakkan badan pelajar berpuasa bersama rakan beragama Islam,” katanya yang pulang ke Malaysia atas urusan perniagaan.
Bermula sebagai rakan di alam maya, persahabatan Lee dan Kit berkembang dan terus berhubung menerusi kempen itu.
Mengulas mengenai kumpulan tertentu yang tidak bersetuju apabila ada orang bukan Islam menyertai umat Islam berbuka puasa, Lee berkata ia terpulang kepada perspektif masing-masing terhadap kempen itu.
“Jika anda fokus lebih kepada perbezaan, maka anda akan ada negara dan masyarakat yang terpisah.
“Tetapi jika anda fokus lebih kepada perpaduan, anda akan dapat negara yang berkembang dan itu yang kita mahu untuk menjadi negara maju dan kekal bersatu,” katanya.
Mereka pulang selepas azan Subuh kedengaran dari masjid berdekatan, menandakan bermulanya hari berpuasa untuk umat Islam.
Menjelang 6 petang, kumpulan yang sama, kali ini bersama ahli lebih ramai menyertai acara berbuka puasa di restoran Chawan di Bangsar.
Kit, yang berpuasa sepanjang hari berkata beliau mengadakan mesyuarat dengan pemimpin masyarakat dan rakan paderi lain, dan pada waktu makan tengah hari, beliau beritahu mereka secara sopan yang beliau sedang berpuasa untuk kempen itu.
“Ketika semua orang makan, ia menyedarkan saya yang rakan beragama Islam sudah melakukannya selama ini, pastinya sukar melawan godaan ketika berpuasa dan itu sikap yang mengagumkan,” kata Kit.
Katanya, timbul perasaan ingin tahu di kalangan rakan sekerja dan mereka bertanya sama ada kempen itu mendapat kritikan dan apa tujuan ia diadakan.
“Secara keseluruhan mereka sangat menyokong tindakan solidariti ini,” katanya yang juga pastor di Gereja Bangsar Lutheran.
Selain Bangsar, masyarakat lain di Pulau Pinang mengadakan acara yang sama dan berkongsi pengalaman mereka menggunakan hashtag #Puasa4Malaysia di media sosial.
“Seronok bila tahu ada masyarakat lain menjalankan kempen ini dan menunjukkan sokongan,” katanya.
Selepas makan malam, Pepper Lim yang juga seorang ateis, berbual dengan peserta lain yang berkongsi pandangan mereka mengenai kempen itu.
Ini kali ketiga Lim menyertai kempen itu dan mengakui berpuasa dari terbit matahari hingga maghrib masih sukar baginya dan itu sebabnya dia biasanya hanya berpuasa separuh hari.
Bagaimanapun, hari ini Lim berjaya mencapai sasaran baharu dengan berpuasa dari 10 pagi hingga maghrib.
“Bagi saya, berpuasa sepatutnya melangkaui agama, bangsa dan budaya.
“Saya suka jika kempen itu jadi acara nasional, mungkin contohnya kita patut menggalakkan semua orang berpuasa pada hari pertama Ramadan sebagai peringatan permulaan bulan suci itu,” katanya.
Kempen “Puasa untuk Malaysia” dimulakan sekumpulan rakyat Malaysia untuk mempelawa individu pelbagai bangsa dan agama menyertai umat Islam berpuasa sebagai tindakan solidariti menyatukan rakyat.
Pada 2009, kempen itu dinamakan Berpuasa untuk Negara, Keamanan untuk Malaysia.
Tokoh terkemuka seperti Marina Mahathir dan Ambiga menyertai acara itu, yang diadakan bersempena pembentukan Malaysia pada 16 September. – 18 Jun, 2017.
Komen