KETUA Wanita Umno Shahrizat Jalil menyeru ahli sayap tersebut merebut peluang bertanding jawatan tertinggi dalam pemilihan 30 Jun bagi melakukan perubahan dalam parti.
Bekas menteri Umno itu berkata, pemimpin Wanita Umno sepatutnya memenangi sekurang-kurangnya jawatan naib presiden.
“Saya harap lebih ramai wanita akan bertanding di peringkat bahagian dan di peringkat nasional dan bukan hanya terhad (bertanding) untuk (jawatan) sayap wanita sahaja.
“Setidak-tidaknya kali ini ada satu wanita jadi naib presiden Umno. Itu harapan saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengakui golongan wanita sebelum ini hanya tertumpu kepada pertandingan sayap Wanita dan Puteri Umno dan kurang diberi peranan dalam membuat keputusan di peringkat tertinggi.
“Wanita susah untuk diberi tempat, yang lebih tinggi. Perkara ini sebenarnya perkara yang serius Umno mesti (ubah).
“Ini menjadi perjuangan saya dan exco sebelum ini. Perjuangan kita melalui kementerian kita minta sekurang-kurangnya 30% wanita diletak di tempat buat keputusan. Kita pun bukan nak minta begitu saja, tetapi wanita yang berkelayakan,
“Jadi dalam Umno, isu ini perlu diberi perhatian, ini perjuangan kita yang lama. Tetapi ini adalah satu-satu perjuangan yang mesti diberi perhatian,” katanya lagi.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang menyarankan wanita Umno turut bertanding untuk jawatan naib presiden dan ke atas.
Menurut Zuraida, Wanita Umno perlu menggunakan peluang ini untuk meraih jawatan tinggi dalam parti dan membetulkan keadaan.
Perkara sama turut dibangkitkan dua lagi pemimpin wanita parti kerajaan, Naib Presiden DAP Teresa Kok dan Ketua Wanita Parti Amanah Negara Siti Mariah Mahmud.
Dalam pada itu, Shahrizat juga berharap agar calon Wanita Umno terdiri dari individu yang mampu menarik sokongan masyarakat dan aktif di media sosial untuk mengetahui masalah rakyat.
“Mungkin ketua Wanita yang lebih muda, canggih dan yang mendapat menambat hati bukan hanya golongan berumur tetapi amat mustahak juga yang muda.
“Kalau kita pilih ketua yang hanya kita selesa sahaja tapi tidak mendapat perhatian daripada rakyat. Saya rasa kita akan gagal,“katanya lagi.
Kini, semua tiga sayap Umno akan menempuh era baru kepimpinan apabila semuanya bertukar ketua apabila masing-masing tidak mempertahankan jawatan.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengumumkan hanya akan bertanding jawatan naib presiden.
Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin juga mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti itu dan akan memberi tumpuan berkhidmat sebagai ahli Parlimen Masjid Tanah. – 10 Jun, 2018.
Komen