Kini rakyat Malaysia boleh kembali berharap, kata Kit Siang


Sheridan Mahavera

Jangan berpuas hati dengan perubahan kecil, rakyat Malaysia kini boleh menyimpan harapan besar, kata Lim Kit Siang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2018.

LIM Kit Siang tidak mahu rakyat Malaysia merendahkan harapan mereka.

Beliau tidak mahu rakyat berpuas hati dengan perubahan kecil atau tambah baik picisan dalam tadbir urus atau dibataskan dengan sentimen kaum.

“Malaysia boleh bermimpi sekali lagi- dan kali ini mimpi yang besar. Ramai yang putus harap, terbukti dengan penghijrahan besar-besaran bakat yang terbaik dan terbijak.

“Lebih buruk, sejak beberapa tahun lepas, rakyat Malaysia baik di dalam negara mahupun dalam diaspora hijrah malu untuk mengaku mereka rakyat Malaysia kerana hangatnya kleptokrasi.

“Malaysia dan rakyat Malaysia sedang keluar daripada masa yang sukar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sedari awal, kerajaan Pakatan Harapan mahu membina kembali negara yang mana setiap rakyatnya dilayan setaraf selaku rakyat Malaysia.

Negara ini boleh jadi cahaya harapan dalam dunia yang penuh kacau bilau dan sengketa, katanya.

Kata-katanya itu memberi kelegaan kepada ramai rakyat Malaysia yang sekian lama menyaksikan perubahan palsu sehingga menjadikan kita bangsa Malaysia yang sinikal.

Ramai yang percaya kegembiraan Malaysia Baharu selepas 9 Mei tidak akan bertahan lama dan kita akan kembali kepada zaman kaum dan agama mendominasi wadah pembinaan bangsa dan proses membuat keputusan.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Lim berkongsi perasaannya tentang PRU14 yang bersejarah terutama sekali bagi seorang politikus yang menghabiskan hidupnya hampir lima dekad berada dalam pasukan yang sentiasa kalah.

Berikut adalah petikan wawancara itu.

TMI: Apa yang tuan fikirkan bila sudah jelas Pakatan Harapan sudah menang?

Lim: Pertamanya, rasa lega kerana negara tidak akan merasai luka dan trauma yang akan wujud sekiranya situasi Parlimen tergantung berlaku- kepimpinan PAS sudah mengisytiharkan hasrat mereka untuk jadi ‘king maker’, dengan menang 40 kerusi Parlimen, bagi mengangkat Najib Razak menjadi perdana menteri walaupun terpalit skandal 1MDB. Politik Islam di Malaysia akan selamanya terkesan dengan kerjasama tidak berprinsip itu!

Kedua, menghapuskan ketakutan 13 Mei.

TMI: Tuan pernah kata yang DAP hanya mahu jadi pembangkang yang kuat dan setia. Tetapi berlaku tsunami 2008 dan pemimpin DAP jadi ketua menteri. Apakah perasaan tuan sekarang? Memandangkan DAP berjaya capai perkara yang dahulunya dianggap mustahil?

Lim: Saya tak pernah bayang akan dapat menyaksikan perubahan kerajaan persekutuan ketika saya masih hidup. Ia mimpi yang jadi kenyataan bukan sahaja untuk saya tetapi generasi rakyat Malaysia- terutama mereka yang berumur enam puluh, tujuh puluh ke atas.

Ia pengalaman yang unik- perasaan yang harapan diperbaharui, Malaysia lahir semula, diberikan peluang kedua untuk membetulkan semula dasar pembinaan negara.

TMI: Perlukah rakyat Malaysia berani untuk berharap atau kita perlu menguruskan jangkaan kita disebabkan pertimbangan kaum dan agama?

Lim: Rakyat Malaysia boleh berharap sekali lagi-dan harapan yang besar-besar. Ramai yang putus harap kepada Malaysia, seperti disaksikan oleh penghijrahan besar-besaran rakyat Malaysia yang terbaik dan terbijak ke luar negara berdekad lamanya, membentuk diaspora Malaysia.

Lebih buruk, sejak beberapa tahun lepas, rakyat Malaysia sama ada dalam negara atau dalam diaspora Malaysia merasa malu untuk mengaku yang mereka Malaysia disebabkan kleptokrasi global ang hangat, memalukan dan tidak adil.

TMI: PH menang kerana janjinya yang ia boleh menurunkan harga makanan, rumah, penjagaan kesihatan. Bolehkan PH capai semua ini?

Lim: Pakatan Harapan perlu membuktikan yang Malaysian Spring pada 9 Mei 2018 bukan Arab Spring. Ia untuk memberikan kebebasan, demokrasi dan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Tetapi semua ini tak boleh dicapai dalam masa semalam sahaja, ia perlu ambil masa untuk mengubah pentadbiran tidak demokratik dan salah tadbir berdekad lamanya.

TMI: Bila tuan tengok Najib Razak dan isteri, apakah yang tuan nampak? Adakah tuan rasa empati?

Lim: Peluang terbaik yang disia-siakan. Najib janjikan Malaysia “demokrasi terbaik dunia”. Sebaliknya, dia beri kleptokrasi global.

Apa yang tidak boleh dimaafkan adalah peranan Najib dalam skandal 1MDB dan sikap tidak endahnya apabila Malaysia dianggap dunia sebagai kleptokrasi global.

Inilah keaiban dia untuk selamanya.

TMI: Seterusnya apa untuk untuk “Lim Kit Siang”? Tuan tak berada dalam Kabinet. Apakah peranan tuan seterusnya.

Lim: Saya tolak untuk berada dalam Kabinet kerana saya percaya ada cukup ramai pemimpin muda dan idealistik daripada DAP yang boleh berkhidmat sebagai menteri.

Saya akan terus mainkan peranan saya untuk membina Malaysia Baharu, apabila kita melayan satu sama lain setaraf selaku rakyat Malaysia demi membina negara Malaysia yang hebat yang boleh jadi “cahaya dalam dunia yang kucar kacir dan penuh sengketa” dan tidak jadi negara yang “kucar kacir dan penuh sengketa”.  – 10 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen