Berhati-hati walaupun negara ada kebebasan bersuara, kata TPM


Kamles Kumar

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menekankan perlunya menjaga tatasusila dan prosedur ketika berurusan dengan pelbagai pihak, terutama raja berpelembagaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Jun, 2018.

WALAUPUN negara membenarkan kebebasan bersuara, ada masanya ia perlu diamalkan dengan penuh berhati-hati apabila menyentuh perkara yang sensitif, seperti berkaitan institusi diraja, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan perdana menteri dan presiden PKR itu berkata demikian susulan peletakan jawatan A. Kadir Jasin sebagai ketua media bagi Majlis Penasihat Kerajaan.

“Kita perlu peka, walaupun terdapat kebebasan bersuara,” kata Wan Azizah selepas program berbuka puasa di Dataran Merdeka hari ini.

“Kita perlu menjaga tatasusila dan prosedur ketika berurusan dengan pelbagai orang, terutama raja berpelembagaan.”

Peletakan jawatan Kadir susulan siasatan polis terhadap tulisan di blog beliau mengenai perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong.

Wartawan veteran itu berkata beliau menulis dalam “kapasiti sebagai seorang penulis blog”, dan pandangannya “tiada kena mengena dengan sebarang jawatan” yang dipegangnya. – 9 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen