BADAN Bertindak Pertanian Negara (BBPN) menjelaskan, ia tersebut tidak berhasrat untuk bersaing dengan Majlis Perunding Pertanian yang ditubuhkan kerajaan untuk membincangkan isu melibatkan industri berkenaan.
Sebaliknya NGO berkenaan merupakan pertubuhan bebas yang berperanan menyemak dan mengimbangi kerajaan dalam memajukan industri, kata Pengerusi Penaja BBPN Mohd Faisal Idris.
Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) itu juga tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Majlis Perunding Pertanian demi memajukan dan mengangkat martabat industri itu.
“BPPN bukan untuk menyaingi Majlis Perunding Pertanian, siapalah kita, kita cuma NGO kecil dan mereka dipilih kerajaan.
“Tapi kita nak jadi suara yang kritis dan kritikal kepada kerajaan dalam industri. Kita mahu menjadi sebahagian daripada sistem sokongan dengan memberi pandangan, kajian berhubung industri seperti keselamatan makanan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Faisal yang juga penasihat Koperasi Tenusu Negeri Selangor berkata fokus BPPN adalah untuk membawa isu-isu kritikal berhubung pertanian kepada kerajaan.
“(Contohnya) isu kebergantungan sektor import ini yang kita lihat terlalu kritikal. Sekarang ini jumlah import lembu sebagai contoh sebanyak 70%.
“Kerana itu paling penting kita sebenarnya kita perlu meningkatkan semula jumlah pengeluaran lembu tempatan dan tidak bergantung kepada lembu import,” katanya lagi selepas pelancaran NGO tersebut Open University, Kuala Lumpur petang tadi.
Beliau berkata BBPN akan menjadi pusat sehenti kepada petani dan penternak dimana mereka akan mewujudkan ahli jawatankuasa di setiap negeri.
Tambahnya, BBPN juga menekankan usaha menternak dan bertani secara kecil-kecilan tapi serius.
“Microfarming ini walau cuma menternak dalam jumlah kecil tapi kalau ramai- ramai yang melakukan jadi jumlah itu akan besar, jadi ini yang kita nak tekankan kepada pemerintah.
“Kita juga akan membuat kajian rentas (ke atas) program kerajaan ternak tani yang lepas dan gagal dan mencadangkan satu pelan penyelesaian,” katanya.
Selain itu katanya BBPN juga menekankan isu ternak tani berasaskan alami dan bioteknologi supaya produk keluaran makanan adalah selamat.
“Kita nak tekankan ternak tani secara semula jadi kalau boleh elakkan bahan penggunaan kimia yang akan termasuk dalam makanan komersil
“Macam kalau kita sembur racun, hujan akan dibawa ke sungai dan kemudian ke laut, bila ke laut kenalah ikan kembung, itu yang buat harga ikan kembung mahal.”
Faisal berkata BBPN juga akan mengadakan Kongres Pertanian Nasional yang akan berlangsung pada Oktober ini. – 9 Jun, 2018.
Komen