SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan mengganggu siasatan polis dalam firma pelaburan negara yang dilanda skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana tidak mahu berlaku “pertindihan” siasatan, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad.
“Ia tiada kaitan dengan kami. Ia dipersetujui lama dahulu yang siasatan akan dilakukan pihak polis, kita tidak mahu siasatan bertindih,” kata Dzulkifli.
Dalam pada itu, ketua SPRM berkata polis perlu diberi lebih banyak masa untuk menyiasat skandal tersebut.
Mengulas mengenai saman sivil terkini Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), Dzulkifli berkata tiada permintaan bagi maklumat atau pemberitahuan daripada DoJ.
Pada Khamis, DoJ memulakan tindakan merampas AS$540 juta (RM2.3 bilion) aset yang didakwa dibeli dengan wang dicuri daripada 1MDB, menjadikan angka disalahgunakan daripada 1MDB kepada AS$4.5 bilion.
Pejabat Perdana Menteri menolak saman terkini DoJ sebagai “dakwaan tidak terbukti”, manakala Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata ia saman ulangan AS$1 bilion tahun lepas, sambil menambah pejabatnya masih belum diberikan bukti yang menunjukkan wang disalurkan daripada 1MDB. – 17 Jun, 2017.
Komen