KEMENTERIAN Kesihatan menubuhkan satu pasukan bertindak bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ubat di hospital dan klinik kerajaan, kata menterinya Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata pasukan ini akan mengkaji sistem yang ada dan membuat cadangan balas bagi menyelesaikan masalah ini.
“Anggota ini kita ambil yang terbaik dalam industri termasuk dari pakar-pakar bidang farmasi. Kita harap pasukan itu berjaya menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” kata Dr Dzulkefly kepada The Malaysian Insight.
Masalah kekurangan bekalan ubat merupakan antara isu besar yang menjadi tumpuan menjadi antara isu kempen Pilihan Raya Umum ke-14.
Dr Dzulkefly berkata pasukan bertindak itu antara lain akan meneliti masalah di peringkat pembekal memandangkan ubat-ubatan tersebut pada masa ini dibekalkan oleh syarikat utama, Pharmaniaga.
“Namun selepas kita kaji apa yang berlaku, kadang-kadang pembekal utama ini adalah penyelesaian kepada masalah bekalan ini berbanding jika kita mempunyai terlalu banyak pembekal.
“Jadi task force yang kita tubuhkan ini akan memberikan cadangan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi ini,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata isu pembekal ini bukan di bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan sepenuhnya tetapi lebih kepada Kementerian Kewangan yang menganugerahkan sesuatu tender pembekalan.
Katanya, Pharmaniaga yang menjadi pembekal utama ubat-ubatan kepada hospital pula anak syarikat kerajaan yang memegang saham utama syarikat ini.
“Di sini timbul masalah baru juga kadang-kadang apabila kerajaan terlibat dengan perniagaan,” kata bekas pensyarah perubatan di Universiti Sains Malaysia itu.
Antara pemegang saham utama Pharmaniaga adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Boustead Holdings Bhd, serta badan dan syarikat yang dikaitkan dengan kerajaan.
Dr Dzulkefly berkata masalah kekurangan bekalan ubat merupakan antara isu besar yang menjadi tumpuan kementeriannya dan merupakan antara keluhan utama masyarakat.
Ia susulan tindakan pihak hospital mengehadkan bekalan ubat bagi setiap kunjungan pesakit dengan memberi bekalan untuk seminggu atau dua minggu saja berbanding bekalan untuk sebulan atau dua bulan sebelum ini.
Ia memberikan bebanan besar kepada pesakit khasnya golongan kurang upaya yang terpaksa kerap berulang alik ke hospital atau klinik kerajaan semata-mata untuk mendapatkan ubat.
“Kita memang memberikan tumpuan kepada perkara ini sejak saya mula dimaklumkan akan menjadi menteri kesihatan lagi,” kata Dr Dzulkefly. – 9 Jun, 2018.
Komen