SABAH bersedia berkorban untuk jangka pendek demi keuntungan jangka panjang dalam industri balak dan memastikan rakyat negeri itu mendapat manfaat darinya, kata seorang menteri negeri hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Industri dan Perdagangan, Wilfred Madius Tangau berkata kerajaan negeri mengenakan pemberhentian sementara terhadap eksport balak dan mengorbankan sumber utama pendapatannya bagi memastikan pasaran domestik mendapat bekalan bahan mentah mencukupi.
Wilfred berkata beliau telah diberi mandat untuk memastikan hasil kekayaan itu dapat digunakan untuk manfaat rakyat Sabah.
“Ketika ini, kami sedang mempersiapkan kertas kerja mengenai bagaimanakah cara terbaik bagi kami membantu industri tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah, sementara pada masa yang sama memastikan firma pembalakan tidak mengalami kerugian yang banyak disebabkan larangan itu.
“Kami sedang mengusahakan situasi menang-menang untuk semua pihak,” kata ahli Parlimen Tuaran itu.
Produk berasaskan hutan merangkumi 7% daripada hasil pendapatan negeri atau RM225 juta pada 2016, di mana Sabah mencatat hasil eksport bernilai RM2.04 bilion dari industri balak.
Menurut Jabatan Perhutanan, industri berasaskan kayu Sabah masih belum berkembang dan ia didominasi oleh aktiviti pemprosesan seperti sektor kilang papan dan papan lapis. – 8 Jun, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen