SUSULAN saman terkini terkini yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) bagi mendapatkan semula berbilion ringgit yang didakwa dicuri daripada dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membiayai gaya hidup mewah, Timbalan Presiden PAS mengetengahkan beberapa pemerhatian tentang polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Audit Negara dan gabenor Bank Negara.
Kemampuan pasukan polis mengesan aktiviti pengganas di Malaysia dengan jayanya pastinya cukup layak untuk menyiasat aliran dana daripada entiti milik kerajaan, kata beliau.
Beliau hairan, dengan kejayaan SPRM memburu penjawat awam kerana rasuah, tidak kira betapa kecil jumlah itu, pastinya mampu membongkar semua penipuan dalam 1MDB.
Dan bagaimana pula dengan Ketua Audit Negara dan gabenor Bank Negara yang sudah diperakui meluas?
“Keempat-empat pasukan ini semestinya lebih mampu daripada DoJ, tapi malangnya mereka kini terpaksa mengharungi penghinaan demi penghinaan oleh DoJ kerana mereka sedang berhadapan halangan-halangan yang tidak boleh disebut,” kata Tuan Ibrahim dalam satu catatan di Harakahdaily.net.
“Mengapa DoJ dapat menyiasat dan membongkar pengaliran tunai 1MDB dengan sebegitu teliti manakala siasatan 1MDB di dalam negara pula tidak menampakkan apa-apa hasil?
“Sehingga kini, siasatan polis terhadap 1MDB masih tidak siap-siap. Siasatan yang dilakukan Ketua Audit Negara yang diserta bersama kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pula diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Peguam negara kita pula bertindak seolah-olah beliau ialah peguambela individu dan bukannya negara.”
Ia masih tidak jelas apa pendirian Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengenai 1MDB dan saman terkini oleh DOJ.
Beliau semakin pulih di Institut Jantung Negara dan mengeluarkan artikel berkala mengenai hal ehwal semasa dan isu global, termasuk sengketa di antara Arab Saudi dan Qatar.
Beliau mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri Najib Razak dan membawa PAS lebih dekat dengan Umno beberapa bulan kebelakangan ini. Pendedahan mengejutkan tentang bagaimana wang pembayar cukai didakwa dibelanjakan oleh Jho Low untuk membeli kapal layar, hartanah, lukisan dan berlian akan meletakkan kerjasama ini di bawah tekanan, memandangkan hubungan rapat ahli perniagaan itu dengan Najib.
Setiap kali Tuan Ibrahim berkata sesuatu mengenai 1MDB, lebih ramai ahli PAS mempersoalkan kebijaksanaan berkongsi platform yang sama dengan Najib dan Umno. – 17 Jun, 2017.
Komen