Tuntutan Petronas tindakan diktator, kata Jeffrey Kitingan  


Jason Santos

Pemimpin Star Sabah Dr Jeffrey Kitingan berkata tindakan undang-undang Petronas adalah satu mainan politik.– Gambar Youtube, 8 Jun, 2018

TINDAKAN syarikat minyak negara menuntut hak eksklusif sumber petroleum di negara ini tidak akan timbul tanpa arahan daripada pihak atasan, kata pemimpin Star Sabah Dr Jeffrey Kitingan hari ini. 

Dalam pendedahan yang merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata “individu yang memegang jawatan tinggi kerajaan persekutuan mungkin mengarahkan Petronas membuat tuntutan undang-undang”.

“Terdapat kemungkinan yag tinggi (adalah beliau). Tindakan undang-undang ini adalah politik. Ia adalah tindakan diktator yang daripada melakukan sendiri, beliau membuatkan orang lain melakukannya. 

“Ini sudah dilihat sebelum ini, beliau menekan mereka yang tidak setuju dengannya, sama seperti ketika beliau membawa Umno ke Sabah pada 1990, apabila PBS memutuskan untuk tidak bersekutu dengan Barisan Nasional,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Terdapat desas-desus di media sosial yang membabitkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai dalang di sebalik tuntutan Petronas. 

Terdapat dakwaan yang menunjukkan pemimpin dalam kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah ikhlas menyampaikan manifesti pilihan rayanya untuk meningkatkan jumlah royalti minyak negeri Malaysia Timur daripada 5% kepada 20%.

Khabar angin itu kemudian disulitkan lagi dengan laporan bahawa Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan dan pengarahnya Mohd Omar Mustapha dijangka akan meletakkan jawatan. 

Lagipun, Dr Mahathir merupakan penasihat Petronas dari 2003 hingga beliau digugurkan ketika pentadbiran Barisan Nasional pada 2016, kata Dr Jeffrey. 

Katanya dakwaan tuntutan itu adalah sama dengan gaya “lama” Dr Mahathir, dan mengatakan beliau pernah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah dimansuhkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis untuk mematahkan pembangkang pada masa lalu. – 8 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen