DAP Sarawak akan meneruskan rancangan menyaman Menteri Kewangan Kedua Negeri Wong Soon Koh kerana dakwaan muflis terhadap Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon.
Wong, yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP), mengemukakan usul memecat Ting pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 12 Mei kerana didakwa mempunyai dua kerakyatan.
Ditanya sama ada beliau masih akan meneruskan saman itu, Ting memberitahu The Malaysian Malaysia, “Ya. Menanti nasihat daripada pasukan undang-undang.”
Ting diwakili peguam Chong Siew Chiang, Adun Padungan Wong King Wei, Adun Pending Violet Yong, Adun Bukit Assek Irene Chang dan Setiausaha DAP Negeri Alan Ling.
Saman itu adalah berasingan daripada yang difailkan terhadap Speaker Sarawak Mohamad Asfia Awang Nassar kerana melucutkan kelayakan Ting sebagai wakil rakyat. Mahkamah Tinggi membatalkan pelucutan kelayakan itu pagi ini.
Saman terhadap Wong adalah kerana komen yang dibuat di bilik media DUN Sarawak pada 15 Mei, di mana beliau mendakwa Ting muflis di Australia. Ia dilaporkan secara meluas dalam akhbar.
Keistimewaan imuniti hanya diberikan bagi komen yang dibuat semasa sidang DUN.
Ting menafikan pernah bankrap dan membuat laporan polis di Miri terhadap Wong pada 3 Jun.
Beliau erkata akan memfailkan saman fitnah terhadap Wong selepas Mahkamah Tinggi Kuching mencapai keputusan mengenai kesahihan pemecatannya.
Ting mengeluarkan surat tuntutan memohon maaf kepada Wong kerana mengatakan beliau muflis.
Wong enggan, dan membuat laporan polis terhadap Ting kerana didakwa mengelirukan pengundi Pujut mengenai status kewarganegaraannya.
Wong tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen. – 17 Jun, 2017.
Komen