Adun Ijok dinamakan calon MB Selangor


Zulkifli Sulong

Cadangan nama Dr Idris Ahmad sebagai calon menteri besar dikemukakan melalui surat PKR yang diserahkan kepada Sultan Selangor pada Isnin lepas. – Gambar facebook, 8 Jun, 2018.

DR Idris Ahmad, wakil rakyat Ijok, dinamakan sebagai calon menteri besar (MB) Selangor bagi menggantikan Mohamed Azmin Ali yang kini menjadi menteri.

Cadangan nama Dr Idris dikemukakan melalui surat PKR yang diserahkan kepada Sultan Selangor pada Isnin lepas, yang ditandatangani presiden parti, Dr Wan Azizah Wan Ismail, kata dua sumber pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri kepada The Malaysian Insight.

Cadangan itu disokong oleh surat pengerusi parti-parti gabungan PH di Selangor iaitu Izham Hashim (Amanah), Abdul Rashid Asari (Bersatu) dan Tony Pua (DAP).

“Surat daripada mereka sampai ke tangan Tuanku Sultan kira-kira jam 2.30 petang Isnin lepas,” kata salah seorang sumber itu kepada The Malaysian Insight.

Istana Selangor sebelum ini memaklumkan majlis angkat sumpah MB Selangor yang baru akan diadakan pada 19 Jun ini, iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri.

Majlis berkenaan dijadual diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Isnin lepas, Azmin dalam satu kenyataannya berkata, calon MB Selangor baharu berkemungkinan dilantik bukan daripada barisan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri Selangor tetapi mesti datang daripada PKR.

“Kemungkinanlah (calon) bukan daripada exco. Lagipun di Selangor kita ada 51 Adun,” kata Azmin yang kini juga menjawat menteri hal ehwal ekonomi.

Sebelum ini, ada tiga nama yang disebut-sebut dipertimbangkan sebagai calon MB iaitu Adun Sungai Tua, Amirudin Shari; Adun Seri Setia, Shahruddin Badaruddin dan Adun Sungai Kandis, Shuhaimi Shafie.

Dr Idris, 71, seorang doktor perubatan, mula mendekati PKR sejak era reformasi iaitu pada akhirt tahun 1990-an.

Beliau adalah pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, namun pada pilihan raya 2013, beliau dicalonkan bertanding di Dewan Undangan Negeri Ijok, Selangor memandangkan keluarganya tinggal di situ.

Ketika krisis MB Selangor, nama Dr Idris turut naik untuk menggantikan Khalid Ibrahim apabila PAS turut mencadangkan beliau sebagai salah seorang calon pengganti MB.

Dr Idris menamatkan pengajian perubatan dari Australia dan pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai doktor perubatan mulai 1972 lagi.

Beliau hanya aktif politik pada 1998 dan menyertai PKR pada 1999 dan menjadi ketua PKR cabang Segambut, Kuala Lumpur di samping pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Dr Idris mengekalkan kerusi DUN Ijok dengan majoriti 2,114 mengalahkan calon Barisan Nasional, PAS serta PRM, menambah lebih sekali ganda majoriti yang dimenangi sebelumnya pada PRU13. – 8 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen