Apabila orang bukan Islam jejak kaki di masjid...


Bede Hong

Seorang ahli jawatankuasa Masjid Al Faizin di Kepong menyambut kedatangan Ketua Biskop Kuala Lumpur Rev. Julian Leow untuk program berbuka puasa bersama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Jun, 2018.

IA adalah kali pertama Reverend Fr Alan Pereira menyaksikan solat Maghrib di Masjid Al Faizin di Kepong, Kuala Lumpur - yang terletak hanya seberang jalan dari Gereja Christ the Light, tempat beliau menjadi paderi.

Pederi Katolik itu adalah antara lebih 200 penganut agama lain seperti Kristian, Hindu, Taois, Buddha dan Sikh yang berdiri 50 kaki di belakang barisan umat Islam ketika mereka menunaikan solat di dalam masjid semalam.

Kebanyakan pelawat bukan Islam itu datang dari bandar, manakala sesetengahnya ada yang memandu sejauh dari Negeri Sembilan.

Selain Pereira terdapat tiga paderi Katolik lain dan Uskup Agung Julian Leow dari Kuala Lumpur yang merupakan tetamu kehormatan.

Gareja kecil Pereira menerima kehadiran 12 orang Islam dari masjid untuk menyambut Tahun Baru Cina pada Februari lalu memandangkan ramai penganut Katolik berbangsa Cina.

Tetapi semalam adalah kali pertama orang bukan Islam menyertai iftar, berbuka puasa bersama selepas seharian berpuasa di bulan Ramadan.

“Komuniti dipisahkan sejak beberapa dekad lalu. Tetapi saya rasa kita semakin bersama-sama dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Pereira.

Umat ​​Islam terlebih dahulu berbuka puasa dengan kurma dan air. Selepas bersolat, orang ramai berkumpul untuk mendengar Leow berucap sebelum semua orang menjamu selera dengan kari kambing, ayam dan nasi beriani yang dihidangkan di bawah khemah.

“Saya fikir majlis seperti ini penting bagi rakyat Malaysia, supaya kita boleh bersama-sama, buka puasa dan bergembira dengan kehadiran antara satu sama lain dan tidak dibahagikan dengan agama,” kata uskup itu.

“Paling utama, kita semua adalah rakyat Malaysia dan menghormati antara satu sama lain. Ini adalah asas untuk mempunyai negara yang hebat. Kita perlu membina asas yang kukuh dan agama boleh memainkan peranan untuk membina asas ini.”

Arul Amaladass, ahli kariah Gereja Christ the King di Selayang, Kuala Lumpur berkata ini adalah satu peluang yang jarang berlaku bagi bukan Islam untuk hadir dan melihat dengan senyap dan penuh hormati ketika umat Islam menunaikan solat.

Anne Sumitra Sivanesan, suri rumah dari Gereja Visitation di Seremban, menegaskan interaksi seperti ini juga baik walaupun bagi mereka yang tidak hadir pada majlis itu semalam.

“Ia menghapuskan tanggapan yang orang lain mungkin ada terhadap agama lain, seperti jika anda melihat serangan pengganas, fikiran pertama yang terlintas adalah perbuatan umat Islam. Orang ramai boleh membetulkan perkara itu. Apabila anda berinteraksi, ia mengajar orang lain mengenali siapa mereka sebenarnya.”

Bertindak sebagai tuan rumah adalah pegawai tentera bersara, Kolonel Bakri Bahalan, yang merupakan seorang daripada pengelola masjid dan pemimpin jawatankuasa.

Penganut agama lain berpeluang menyaksikan sendiri umat Islam menunaikan solat Maghrib semasa majlis berbuka puasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Jun, 2018.

Semasa bersolat, Bakri menerangkan makna setiap perbuatan kepada kumpulan antara agama itu.

“Apa pun kepercayaan atau agama anda, kami harus cuba memahami antara satu sama lain, tanpa itu, kita akan kekal dalam keadaan keliru,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas melayan para tetamu.

“Memang perlu bagi semua rakyat Malaysia memahami kebenaran mengenai satu sama lain Dengan melakukan itu, mereka boleh berasa kasih kepada sesama manusia. Ia boleh berkembang, Apabila kita menjemput mereka, selepas kita berpuasa bersama, mereka boleh memberitahu rakan-rakan dan saudara lain mengenai Islam yang sebenar.” – 8 Jun, 2018.

Artikel penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen