Perintah reman suspek bunuh Nhaveen dilanjutkan


Looi Sue-Chern

Reman tiga suspek kes pembunuhan T. Nhaveen dilanjutkan sehingga Selasa depan bagi membantu satu lagi siasat kes peras ugut dan merusuh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 17 Jun, 2017.

REMAN tiga remaja berusia 18 tahun di Pulau Pinang, suspek dalam kejadian pembunuhan T. Nhaveen dilanjutkan empat hari lagi, hari ini.

Lanjutan tempoh reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan terhadap satu lagi kes peras ugut dan merusuh.

Pagi semalam, dua suspek berkaitan kes bunuh Nhaveen – pelajar sekolah berusia 16 dan 17 tahun – turut direman atas kesalahan sama tetapi kes berbeza yang dilaporkan bulan lalu.

Reman kedua-duanya tamat pada Isnin.

Pada Selasa, tidak lama selepas Nhaveen, 18, disahkan meninggal dunia, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata kes itu akan disiasat kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Anuar Omar berkata laporan bedah siasat menunjukkan Nhaveen meninggal dunia kerana kecederaan di kepala menggunakan senjata tumpul.

Nhaveen diserang pada malam Jumaat lalu di Island Glades oleh sekumpulan remaja lelaki yang menggunakan penumbuk dan topi keledar untuk membelasahnya.

Ketika tiba di hospital, mangsa sudah tidak sedarkan diri. Dia masih koma ketika meninggal dunia.

Lima remaja dijangka didakwa kerana membunuh minggu depan. – 17 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen