PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan esok, selepas jawatankuasa itu difahamkan tidak pernah bermesyuarat sejak beberapa tahun semasa pentadbiran Najib Razak.
Jawatankuasa ini bertanggungjawab antara lain memantau kecekapan serta disiplin pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam agar berpegang teguh pada integriti dan nilai-nilai murni.
Antara bidang tugasnya termasuk mengatasi masalah dan kelemahan pengurusan kewangan kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan – antara isu-isu besar yang dikaitkan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, yang harganya dibayar oleh parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“PM terkejut waktu diberitahu jawatankuasa ini sudah lama tidak bersidang. PM terus minta suatu tarikh untuk mesyuarat (minggu ini),” kata sumber yang maklum mengenai latar belakang mesyuarat esok kepada The Malaysian Insight.
Dr Mahathir dijadual memberikan sidang media selepas mesyuarat pukul 10 pagi di Putrajaya esok.
The Malaysian Insight difahamkan mesyuarat akan disertai Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan menteri-menteri kanan iaitu Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Mesyuarat juga akan disertai bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Abu Kassim Mohamed yang baru-baru ini dibawa masuk semula ke dalam kerajaan untuk mengetuai sebuah agensi baru memerangi rasuah dan meningkatkan integriti.
“Mesyuarat esok akan mengesahkan bentuk dan bidang tugas Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC),” kata seorang lagi sumber yang maklum tentang latar belakang agensi itu.
Antara yang akan diputuskan termasuk menjelaskan peranan GIACC dan bidang kuasa pelbagai agensi yang terlibat dalam integriti dan usaha membanteras rasuah, kata seorang sumber.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan minggu lalu memaklumkan GIACC bertanggungjawab merancang, menggubal strategi dan menilai polisi untuk memastikan semua urusan kerajaan bersih dan tidak bertolak ansur terhadap sebarang unsur rasuah.
Kenyataan itu juga menyebut jawatankuasa keutuhan kerajaan itu nanti akan digantikan dengan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah.
Antara tugas awal GIACC yang diumumkan sebelum ini ialah memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan anti rasuah dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dilaksanakan oleh kerajaan secara berperingkat-peringkat.
Janji PH berhubung isu-isu itu termasuk mewajibkan semua wakil rakyat, senator dan pegawai kerajaan berpangkat Jusa C ke atas untuk mengisytiharkan harta.
PH juga berjanji menambah baik beberapa akta misalnya Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat.
Ia juga mahu memperkenalkan Akta Kawalan Pembiayaan Politik bagi memastikan pendanaan politik dibuat dengan telus dan bebas, dan tidak ada lagi kes derma yang tidak jelas sumbernya masuk ke akaun peribadi pemimpin politik dan bukan parti politik. – 7 Jun, 2018.
Komen