SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) diarah memaklumkan kepada seorang pegawai polis untuk mendapatkan wakil perundangan sebelum memberi keterangan bagi inkuiri kehilangan Amri Che Mat, kata Mah Weng Kwai.
Pesuruhjaya Suhakam yang mengetuai siasatan awam terhadap kes Amri itu memberitahu petugasnya agar menghantar surat kepada Sarjan Shamzaini Mohd Daud yang akan hadir pada 25 Jun.
“Kami sebagai sebahagian daripada panel siasatan tidak boleh menghantar surat itu tetapi suruhanjaya boleh.
“Dia boleh mendapatkan wakil perundangan dari Jabatan Peguam Negara, polis atau Majlis Peguam,” katanya selepas sesi inkuiri hari ini.
Shamzaini dipanggil susulan dakwaan isteri Amri, Norhayati Ariffin, yang dia memberitahunya Bukit Aman terlibat dalam penculikan Amri dan Pastor Raymond Koh ketika melawat rumahnya di Kangar, Perlis, pada 12 Mei.
Minggu lalu, inkuiri dikejutkan apabila Ketua Polis Sentul, Penolong Pesuruhjaya R. Munusamy menunjukkan laporan polis yang dibuat oleh Shamzaini kepada Norhayati, menafikan segala yang diberitahu kepada panel dalam keterangannya.
Peguam keluarga Amri, Philip Koh berkata kepada panel yang Shamzaini akan memberi kenyataannya perlulah mempunyai wakil perundangan.
“Dia tidak boleh datang dan memberikan bukti palsu dan menyebabkan kekesalan kepada dirinya sendiri.
“Ini adalah tuduhan serius oleh anak guam kami (Norhayati) dan kini dia (Shamzaini) mengubah naratif,” katanya.
Koh juga berkata Norhayati atau Shamzaini boleh didakwa kerana membuat laporan polis palsu.
“Dia memerlukan nasihat undang-undang yang bebas. Dia juga harus diberitahu akan menandatangani kenyataan saksi.”
Koh juga berkata Majlis Peguam bersedia memberikan bantuan perundangan.
Amri, seorang aktivis sosial dan peniaga forex di Perlis, dipercayai diculik pada 24 November 2016, ketika dalam perjalanan bertemu rakan.
Keretanya dilihat dikelilingi oleh kenderaan 4WD yang dipandu sekumpulan lelaki di Kampung Padang Behor.
Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh kira-kira 15 lelaki menaiki tiga SUV hitam.
Suhakam sedang melakukan inkuiri awam terhadap kehilangan Amri, Koh dan Pastor Joshua dan Ruth Hilmy untuk menentukan sama ada ia kes kehilangan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. – 7 Jun, 2018.
Komen