KEPERCAYAAN bekas menteri kabinet Nazri Aziz bahawa Perdana Menteri Najib Razak tidak melakukan apa-apa kesalahan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad tidak pernah goyah
Beliau percaya dakwaan terhadap Najib oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, adalah konspirasi luar untuk menjatuhkan kerajaan.
Hari ini, selepas lelaki yang dianggap “rakan karib” dipanggil untuk soal siasat berkenaan wang berbilion ringgit yang didakwa dicuri daripada syarikat pelaburan negara itu, Nazri kini sudah tidak pasti lagi.
“Saya percaya apa yang dikatakan kepada saya sebelum ini oleh (bekas) peguam negara (Mohamed Apandi Ali) dan Najib, kata Nazri kepada The Malaysian Insight.
“Saya masih percaya Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga dibuktikan sebaliknya. Sehingga dibuktikan oleh SPRM. Kita tunggu sehingga siasatan selesai,” kata bekas menteri pelancongan dan kebudayaan itu.
Pada 2016, Apandi menyatakan Najib bersih daripada sebarang pertuduhan beliau menerima dana yang dicuri dari 1MDB.
Minggu lalu, Najib disoal siasat dua kali, berhubung dakwaan penyelewengan RM42 juta dari anak syarikat 1MDB SRC International yang disalurkan ke akaun peribadinya.
Najib turut berdepan tuntutan daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat yang menyiasat bagaimana wang sebanyak AS$4.5 bilion yang dicuri daripada 1MDB digunakan untuk membeli aset mewah di Amerika Syarikat.
Najib turut dituduh menerima AS$731 juta dalam akaun peribadinya. Beliau menafikan sebarang salah laku, dan berkata wang berkenaan adalah derma daripada keluara diraja Arab Saudi.
“Apa pun hasil siasatan, ia pastinya benar dan kita perlu tunggu,” kata Nazri yang merupakan ahli Parlimen Padang Rengas.
Nazri berkata beliau menerima penjelasan Najib sebagaimana beliau menerima alasan Dr Mahathir untuk memecat dan memenjarakan Anwar Ibrahim pada lewat 1990an.
“Saya percaya dengan apa yang diberitahu kepada saya. Sama seperti ketika Dr Mahathir berkata Anwar bersalah. Jadi ia sama sahaja.”
Ketika Dr Mahathir memegang jawatan sebagai perdana menteri buat pertama kali, beliau memecat Anwar Ibrahim yang merupakan timbalannya ketika itu daripada kabinet. Anawar berterusan dibicara dan dipenjara atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan liwat pada 1999.
Anwar bagaimanapun kekal dengan pertuduhan itu.
Dr Mahathir dan Anwar telah berdamai dan mereka kini adalah sebahagiann daripada pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan.
Walaupun mempunyai hubungan rapat dengan Najib, Nazri berkata beliau masih belum berjumpa dengannya sejak kekalahan Barisan Nasional 9 Mei lalu.
“Jika beliau minta, saya akan pergi. Saya tidak mahu ganggu rutinnya kerana beliau sibuk. Saya tidak mahu ganggu. Tapi jika beliau panggil, saya akan pergi.”
Nazri dan Najib bersama-sama menyertai politik dalam Pemuda Umno pada pertengahan 1980an ketika Dr Mahathir menjadi presiden Umno.
Nazri berkata Najib yang memujuknya untuk bertanding di kerusi Padang Rengas pada Pilihan Raya Umum ke 13 walaupun beliau mahu bersara daripada politik. – 7 Jun, 2018.
Komen