Langsung: Pengerusi PKR Perlis beri keterangan di Suhakam


Noel Achariam

Pengerusi PKR Perlis Faisol Abdul Rahman berkata panel siasatan Suhakam memanggilnya susulan isteri Amri Che Mat mendakwa wujud pembabitan Bukit Aman dalam kehilangan aktivis itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2018.

PANEL siasatan Suhakam mengenai kehilangan aktivis Amri Che Mat memanggil Pengerusi PKR Perlis Faisol Abdul Rahman untuk memberi keterangan hari ini ini.

Panel itu memanggil beliau berikutan isteri Amri iaitu Norhayati Ariffin mendakwa pegawai polis memberitahunya bahawa Bukit Aman terbabit dalam penculikan itu dan Pastor Raymond Koh.

Minggu lalu, panel itu dikejutkan apabila Ketua Polis Sentul R. Munusamy menunjukkan kepada Norhayati satu laporan polis dibuat oleh Sarjan Shamzaini Mohd Daud menafikan keterangan Norhati kepada panel berkenaan.

Faisol yang sebelum ini memberi keterangan dalam kes Amri berkata beliau dipanggil memberi keterangan susulan dakwaan Norhayati beliau diberitahu oleh Shamzaini bahawa polis terbabit dalam kehilangannya.

“Dia beritahu saya tentang Shamzaini. Kemudian kami bincang dalam kumpulan kami dan membuat keputusan Norhayati perlu datang ke Kuala Lumpur dan buat laporan polis.

“Itu sebabnya mereka panggil saya beri keterangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Norhayati memberitahu panel itu bahawa Shamzaini datang ke rumahnya di Kangar, Perlis, pada 12 Mei untuk bercakap tentang kehilangan Amri dan Koh.

Beliau berkata tidak tahu tentang laporan polis Shamzaini.

Panel itu juga akan mendengar keterangan daripada pegawai pembantu keluarga Norhayati iaitu Sheryll Stothard dan kawan Amri, Anwar Ismail.

Amri, seorang aktivis sosial dan pedagang forex di Perlis, dipercayai diculik pada 24 November, 2016 ketika dalam perjalanan bertemu dengan rakannya.

Keretanya dikelilingi oleh kenderaan 4WD dipandu sekumpulan orang di Kampung Padang Behor.

Koh pula diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh kira-kira 15 lelaki menggunakan tiga kenderaan SUV warna hitam.

Suhakam sedang menjalankan siasatan awam berkenaan kehilangan Amri, Koh dan Pastor Joshua serta isterinya Ruth Hilmy untuk menentukan sama ada kes mereka ialah kehilangan paksa oleh pihak berkuasa.

The Malaysian Insight membawakan prosiding ini secara langsung:

4.20pm: Peguam keluarga Amri Philip Koh mencadangkan kepada panel yang Shamzaini akan muncul pada 25 Jun untuk memberikan kenyataannya perlu mempunyai wakil undang-undang.

Dia berkata Majlis Peguam bersedia memberikan bantuan perundangan.

“Dia tidak boleh datang dan memberikan bukti palsu kerana naratif sudah berubah mengikut apa yang dikatakan oleh anak guam kami.”

Mah berkata dia akan meminta Suhakam menghantar surat kepada Shamzaini yang menyatakan dia boleh mendapatkan wakil undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara, polis atau Majlis Peguam.

Siasatan selesai dan akan disambung semula pada 25 Jun.

4.00pm: Pegawai Suhakam kemudian memanggil Amri rakan Anwar Ismail untuk memberi keterangan.

Anwar kemudian memberitahu panel apa yang disampaikan Norhayati kepadanya mengenai Shamzaini.

Munusamy kemudian bertanya kepada Anwar jika apa yang dikatakannya kepada panel berdasarkan kata-kata Norhayati kepadanya.

Anwar kemudian menjawab “Ya”.

3.40pm: Munusamy bertanya kepada Stothard jika Awaluddin mengatakan dia akan menggunakan keganasan terhadap pelaku.

Stothard berkata Awaluddin tidak mengatakan begitu dalam ceramahnya.

Munusamy kemudian bertanya kepadanya apakah Awaluddin menyebut pengikut Syiah harus diculik.

Stothard berkata Awaluddin tidak menyebut penculikan tetapi berkata tindakan perlu diambil.

3.20pm: Stothard juga mengatakan Awaluddin berkata dia menangkap beberapa orang Melayu yang menjadi pastor.

Dia juga berkata Awaluddin mengatakan pengikut Syiah semakin berani.

Mereka menembusi beberapa organisasi tertentu.

Stothard juga memberitahu panel yang Mufti Perlis Dr Maza (Mohd Asri Zainul Abidin) berkata ajaran Syiah masuk ke negeri melalui organisasi kebajikan.

Dia berkata Maza mengatakan ajaran Syiah boleh menyebabkan provokasi di negara ini.

3.00pm: Gomez meminta Stothard membaca transkrip dari salah satu ceramah DCP Awaluddin Jadid yang dirakamkan pada 2016.

Stothard berkata Awaluddin mengatakan sebelum ini mudah apabila ISA ada tetapi ia diserang dan akhirnya dimansuhkan.

Beliau berkata walaupun POCA kini ada, ia  tidak sama.

Stothard juga mengatakan Awaluddin berkata akan pergi ke semua negeri untuk memberi tumpuan kepada musuh Syiah mereka.

Dia juga mengatakan Awaluddin berkata Syiah hanya menyasarkan mereka yang susah kerana mereka tidak dapat mendekati orang Melayu biasa.

2.40pm: Siasatan Suhakam disambung dengan Sheryll memberi keterangan.

Peguam keluarga Amri, Jerald Gomez menyoal Stothard siapa yang menemani Norhayati ke IPD Shah Alam.

Stothard berkata Anwar, Faisol, Aizat dan dua orang anak perempuannya.

“Apabila sampai di sana, polis berkata hanya seorang boleh menemani Norhayati untuk memberikan laporannya.

“Jadi saya mengikutinya dan kami memberikan laporan dan beberapa dokumen kepada Inspektor Aswani.”

11.45am: Suhakam berehat dan akan bersambung jam 2.15 petang.

11.10am: Pegawai Suhakam kemudian memanggil Sheryll memberikan keterangan tentang Shamzaini.

Sheryll berkata beliau menerima panggilan pada 13 Mei daripada Faisol tentang pertemuan antara Shamzaini dan Norhayati.

“Saya kemudian menghubungi Norhayati yang bercakap tentang apa yang berlaku. Saya beritahu dia saya akan membincangkan hal itu dengan peguam lain dan menghubunginya semula.”

Sheryll berkata selepas berbincang dengan peguam lain, mereka mencadangkan Norhayati membuat laporan polis.

“Saya kemudian beritahu Norhayati untuk buat laporan polis tetapi dia kata takut buat laporan di Perlis.

“Saya beritahu pergi buat di Kedah.”

Siasatan itu berehat seketika.

10.50am: Munusamy kemudian bertanya bila Faisol menghubungi rakannya itu (pegawai polis).

Faisol berkata pada 13 Mei.

Munusamy kemudian bertanya tentang gambar Shamzaini di Facebook.

Faisol mengulangi keterangannya bahawa gambar itu diperoleh dari Facebook.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai kemudian bertanya Faisol kepada siapa beliau tunjukkan gambar Shamzaini dari Facebook itu.

“Mula-mula saya tunjuk pada kawan saya dan kemudian kepada Norhayati.

“Mereka kata gambar itu Shamzaini.”

10.35am: Ingin tahu siapa pegawai polis yang mengesahkan identiti Shamzaini, Munusamy tanya sama ada Faisol boleh mendedahkan nama individu itu atau tidak.

Faisol kata tidak kerana tidak mahu menjejaskan individu yang memberikan pengesahan identiti itu.

10.30am: Selepas menerima maklumat tentang Shamzaini, pegawai Suhakam bertanya Faisol adakah beliau ada cuba menghubungi pegawai polis itu.

Faisol berkata beliau cari di Facebook dan menemui Shamzaini.

“Saya kemudian tunjuk gambarnya di Facebook kepada Norhayati dan beliau kenal pasti orang itu sebagai Shamzaini.

“Saya kemudian hubungi seorang kawan di IPK Perlis dan beliau juga mengesahkan Shamzaini bertugas di Cawangan Khas.”

10.20am : Pegawai Suhakam tanya Faisol tentang apa yang Norhayati beritahunya tentang insiden itu.

Faisol berkata Norhayati memberitahu polis mengambil Amri.

“Saya tanya Norhayati adakah Shamzaini betul-betul seorang pegawai polis. Dia kata Shamzaini menunjukkan kad pengenalannya.”

Pegawai itu kemudian bertanya kenapa Norhayati membuat laporan polis di Shah Alam.

Faisol berkata kerana peguamnya berpangkalan di Kuala Lumpur dan balai polis itu paling hampir dengan pejabatnya.

10am: Panel Suhakam memanggil Pengerusi PKR Perlis Faisol memberi keterangan.

Pegawai Suhakam tanya Faisol bagaimana beliau tahu tentang Shamzaini.

Faisol berkata beliau mendapat panggilan daripada Aizat yang memberitahunya tenang pegawai polis itu.

“Bila saya dengar cerita itu, saya terus telefon Norhayati.

“Dia kemudian beritahu saya Shamzaini ada datang ke rumah.

9.50am: Munusamy soal Aizat adakah pegawai Norhayati, Sheryll ada menghubunginya pada 13 Mei.

Aizat berkata ada kerana mahu bertanya apa yang perlu mereka lakukan tentang maklumat disampaikan oleh Shamzaini kepada Norhayati.

“Saya kata bincang dengan Faisol dan buat keputusan apa hendak buat.”

Munusamy bertanya bagaimana Sheryll tahu tentang Shamzaini.

Aizat berkata Faisol beritahunya tentang Shamzaini.

9.40am: Pemerhati polis, Ketua Polis Sentul ACP R. Munusamy bertanya Aizat adakah Sarjan Shamzaini pernah menghubunginya sebelum ini.

Aizat berkata beliau menerima dua panggilan daripada nombor tidak dikenali pada 15 Mei.

“Hanya pada 28 Mei baru saya perasan yang saya terima dua panggilan daripada Shamzaini.

“Kerana sebelum itu saya tidak ada nombor dia.”

Munusamy bertanya adakah dia pernah bertemu Shamzaini sebelum ini.

Aizat berkata mereka tidak pernah bertemu.

9.30am: Siasatan awam Suhakam bermula dengan memanggil rakan Amri  Che Mat yang juga ahli Perlis Hope, Aizat Hamid, memberi keterangan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen