KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim menegur Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Kadir Jasin kerana kenyataannya mengenai perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong.
Anwar berkata hak rakyat perlu dihormati kerana Pakatan Harapan bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan Raja-Raja.
“Rakyat tak seharusnya menyalahkan Raja-Raja kerana mereka sudah biasa dengan kerajaan Umno selama 60 tahun.
“Kita bukan hendak ubah Perlembagaan atau gubal undang-undang tak munasabah,” katanya pada perhimpunan PKR di New World Hotel hari ini.
Kadir dalam catatan blognya mengatakan selama 16 bulan sehingga April tahun ini, sejumlah RM256.9 juta diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk penginapan, kediaman dan istana, barangan peribadi, pengangkutan dan kapal terbang, latihan dan kelengkapan pengiring, pakaian dan barangan majlis, hadiah cenderahati, lawatan luar negara dan gaji kakitangan istana.
Kadir, bagaimanapun tidak menyatakan sumber maklumat butiran perbelanjaan itu.
Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan hanya memperuntukkan RM13.5 juta setahun kepada Agong.
Anwar berkata kenyataan buruk seperti itu tanpa memberi peluang kepada Raja-Raja untuk memberi penjelasan bukanlah budaya yang sihat.
“Saya nampak ada perkara yang didesak-desak, ada beberapa kesilapan besar di situ, saya rasa kita perlu berhati-hati.”
Anwar berkata beliau akan terus menghadap Raja-Raja untuk menghapuskan tanggapan yang Pakatan Harapan menentang mereka.
“Kerajaan baru tidak mengabaikan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan hak Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan Islam.
“Saya mewakili pandangan kepimpinan baru dan hak orang Melayu akan terus terpelihara.”
Anwar juga mengatakan besar kemungkinan beliau tidak akan berada di Parlimen untuk sesi persidangan pertama pada 1 Julai nanti kerana mempunyai komitmen dalam dan luar negara yang perlu dipenuhi.
Sebelum itu, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution berkata parti itu akan mula bersiap sedia mengadakan pemilihan parti bermula Ogos nanti.
PKR diberikan penangguhan 18 bulan sehingga November untuk mengadakan kongresnya dan pemilihan perlu diadakan sebelum Februari tahun depan.
Perhimpunan malam ini dihadiri oleh 51 daripada 67 Adun PKR. Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang berada di luar negara juga tidak dapat hadir. – 6 Jun, 2018.
Komen