AHLI politik Sabah akan mencelah dalam saman yang difailkan Petronas bagi menuntut hak eksklusif terhadap sumber petroleum negeri itu dan menjadi pengawal selia industri huluan tersebut.
Sabah, sebuah negeri yang kaya dengan sumber petroleum, berpotensi hilang hak jika syarikat minyak negara itu menang dalam tuntutan samannya, kata Presiden Star Sabah Dr Jeffrey Kitingan.
Katanya, walaupun Petronas bergantung kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 sebagai titik hujahnya, undang-undang itu sebenarnya “tidak berpelembagaan”.
“Akta itu bertentang dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak sumber asli kepada negeri masing-masing.
“Jika kerajaan negeri tidak bertindak, Sabah akan hilang semua hak minyak kepada Petronas jika ia menang tuntutan saman tersebut,” katanya dalam majlis memperingati tragedi “Double Six” di Sembulan, Kota Kinabalu, hari ini.
Awal minggu ini, Petronas memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan pengisytiharan yang ia adalah pemilik eksklusif sumber petroleum di Malaysia, termasuk Sarawak.
Ia turut mahu mendapatkan pengisytiharan mahkamah tertinggi itu untuk menjadi pengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia.
Pendengaran ditetapkan pada 12 Jun di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya. – 6 Jun, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen