Undang-undang yang menindas akan dimansuh, kata peguam negara


Bede Hong

Peguam Negara Tommy Thomas berkata beliau bertindak atas arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Jun, 2018.

PEMANSUHAN “undang-undang yang menindas” menjadi keutamaan kedua selepas siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Thomas berkata beliau bertindak atas arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Undang-undang tersebut termasuklah Akta Anti berita Tidak Benar, yang akan dimansuhkan, seperti yang diumumkan oleh Dr Mahathir dalam sidang akhbar berasingan.

“Senarai undang-undang tersebut agak panjang dan Pejabat Peguam Negara perlu mengambil beberapa langkah untuk memansuh, sama ada sebahagian atau keseluruhan, atas sebab yang mendesak,” kata Thomas di ibu pejabat Pejabat Peguam Negara di Putrajaya hari ini.

Keutamaan lain yang akan diberi ialah untuk mengkaji hutang antarabangsa yang dilakukan oleh kerajaan dahulu, seperti kontrak dengan negara lain untuk menentukan sama ada ia tidak menyebelahi kepentingan Malaysia, kata Thomas yang berusia 66 tahun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata undang-undang anti berita palsu boleh dimansuhkan seawal persidangan Dewan rakyat pada Jun.

Cadangan pemansuhan akta itu hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan dan tidak memerlukan pindaan Perlembagaan.

Bagi pesalah yang disabitkan di bawah Akkta Antiberita Tidak Benar ini, mereka akan didenda sehingga RM500,000 atau dihukum penjara sehingga enam tahun.

Pengamal undang-undang berkata akta ini memberi kerajaan kuasa melampau, termasuk bidang kuasa wilayah yang membenarkan ia menahan atau mendakwa sesiapa sahaja yang menerbit apa yang dianggapnya sebagai berita palsu. – 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen