ECRL akan dibatal jika terlalu mahal, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengatakan kerajaan masih mengkaji kontrak ECRL dan akan memutuskan sama ada menangguhkan, membatalkan atau meneruskan projek yang bernilai RM66 bilion itu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Jun, 2018.

PUTRAJAYA akan mencari jalan untuk melakukan rundingan baru Projek Keretapi Landasan Pantai Timur (ECRL), jika gagal projek itu mungkin akan dibatalkan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, perjanjian itu terlalu mahal untuk Malaysia dan ia juga mempunyai beberapa syarat tidak memihak kepada negara seperti bayaran berjadual.

“Kami mahu berunding bagi memastikan kita tak perlu banyak wang sebab kita tak mampu.”

Katanya, kerajaan masih mengkaji kontrak ECRL dan masih belum memutuskan sama ada akan meneruskan atau membatalkan projek itu.

“Kami akan kaji sama ada kita boleh tangguh atau batalkan,” kata Dr Mahathir selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Hari ini The Malaysian Insight melaporkan yang kerajaan terpaksa membayar sehingga RM22 bilion jika mahu membatalkan projek ECRL.

“Kami juga mendapati kontrak itu termasuklah bayaran menurut jangka masa tertentu. Setakat yang kita tahu kerja yang dibuat sekarang jauh lebih sedikit berbanding bayaran yang sudah dibuat,” kata Dr Mahathir.

Tidak seperti Projek Landasan Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), projek ECRL bernila RM66 bilion sudah 20% disiapkan.

Kurang sebulan selepas Pakatan Harapan mentadbir Putrajaya, kerajaan membatalkan Projek HSR walaupun terpaksa membayar penalti RM500 juta.

Amalan pembayaran berjadual ini juga ditemui dalam skandal terbaru dibongkar melibatkan anak syarikat Kementerian Kewangan, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) seperti didedahkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam.

Pembayaran berasaskan jangka masa berbanding progres siap kerja menyebabkan RM8.3 bilion dibayar kepada kontraktor China iaitu 87.7% nilai keseluruhan projek walaupun hanya 13% kerja pembinaan dua saluran gas itu baru disiapkan. – 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen