Tiada siapa terselamat siasatan 1MDB, kata peguam negara baharu


Bede Hong

Peguam Negara Tommy Thomas berkata siasatan berhubung 1Malaysia Devleopment Berhad akan menjadi keutamaan bagi memastikan berbilion ringgit wang pembayar cukai dibawa pulang semasa ditemui di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 Jun, 2018.

PEGUAM negara yang baru mengangkat sumpah, Tommy Thomas berkata, “tiada siapa” akan terselamat dalam siasatan ke atas skandal 1Malaysian Development Bhd (1MDB) yang dianggap sebagai keutamaannya.

“Keutamaan pertama dan segera kerajaan adalah berhubung semua perkara yang berkaitan dengan 1MDB,” katanya kepada pemberita di lobi ibu pejabat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya hari ini.

“Oleh itu, saya perlu mengkaji semua kertas dalam skandal itu. Kami akan memulakan prosiding jenayah dan sivil terhadap dakwaan yang dikatakan salah.”

“Semua sama mengikut undang-undang dan tiada siapa terselamat. Tidak akan ada tersembunyi,” katanya sebelum melapor diri untuk bertugas pada hari pertamanya di sini.

“Serentak dengan itu, kami akan segera menghubungi rakan-rakan kami di Amerika Syarikat, Switzerland, Luxembourg, Singapura dan negara lain untuk melanjutkan kerjasama dan bantuan kami sepenuhnya dalam semua perkara berkaitan1MDB dengan matlamat untuk memperoleh kembali berbilion ringgit yang dicuri daripada pembayar cukai ke Malaysia.”

Ditanya jika ada individu yang akan didakwa berkaitan 1MDB, Thomas menjawab: “Saya perlu kaji kertas (siasatan).”

“Setakat yang saya tahu, ada pihak yang dituduh buat salah. Saya perlu kaji kertas (siasatan).”

Ditanya jika beliau akan menilai dakwaan yang bekas peguam negara Apandi Ali menghalang siasatan 1MDB, Thomas berkata: “Saya akan tengok dulu.”

“Semua orang kena berfikiran terbuka. Jangan lupa saya orang luar. Apa yang saya tahu semuanya saya baca daripada maklumat awam. Saya tak ada akses kepada dokumen kerajaan. Saya gembira untuk kaji. Tetapi (semua kena) berfikiran terbuka.”

“Saya tak tahu apa-apa sebab saya baru masuk. Jangan lupa saya orang luar. Saya hanya boleh jawab apa yang saya tahu di luar. Dalam beberapa minit lagi, saya akan jadi orang dalam dan harapnya akan diberi taklimat.”

Dana pelaburan negara itu menjadi tumpuan siasatan seleweng wang dan penggubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara. Najib Razak sudah disoal siasat atas dakwaan dia menerima wang seleweng itu.

Najib berulang kali menafikan salah laku.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan bulan lepas yang RM6.98 bilion duit pembayar cukai digunakan untuk membayar hutang 1MDB yang kini dianggarkan mencecah RM38 bilion.

Lim juga mendedahkan kewujudan fail merah sulit di bawah pentadbiran Najib yang membuktikan kerajaan membayar syarikat tertentu walaupun projek diberikan masih belum siap, termasuklah Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).  –  6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen