PENDUDUK asli Ulu Geruntum, Gopeng berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan empangan hidroelektrik yang sedang dibina, yang projeknya diluluskan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) enam tahun lalu.
Projek yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat swasta itu dibimbangi memusnahkan sumber air, hasil tanaman dan kawasan perkuburan nenek moyang mereka di kawasan tanah adat, kebimbangan yang disuarakan oleh masyarakat Orang Asal itu sejak awal lagi.
“Sudah enam tahun kita bantah, Kami akan bertegas, selagi tak diberhentikan, kami akan terus tekan. Dulu kerajaan BN dan sekarang nasib kami terletak di tangan kerajaan PH,” kata wakil penduduk, Bahalang Bah Ngah.
Enam penduduk kampung itu sebelum ini mendakwa syarikat berkenaan memusnahkan pokok tanaman tanpa mendapat kebenaran penduduk untuk membina jalan bagi projek tersebut.
Bantahan mereka bermula pada 2012 selepas kerajaan negeri menganugerahkan projek tersebut kepada sebuah syarikat untuk membina 25 penjana kuasa hidro mini.
Seterusnya, enam lagi projek tambahan ditandatangani setahun kemudian.
Projek di Ulu Geruntum melibatkan enam perkampungan antaranya Kampung Sungai Kapor, Kampung Sungai Sat, dan Kampung Sungai Poh.

Enam kampung itu terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Teja dalam kawasan Parlimen Gopeng, yang mempunyai 24,190 pengundi yang majoritinya daripada suku kaum Semai.
Adun Teja, Sandrea Ng mengambil maklum bantahan tersebut dan akan mencari jalan penyelesaian yang tidak merugikan semua pihak.
“Projek ini banyak timbulkan bantahan masyarakat Orang Asli mahupun isu alam sekitar, jadi ia memang harus dikaji semula untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang teraniaya ekoran daripada projek pembangunan,” katanya yang sudah berjumpa dengan penduduk kampung Sabtu lalu.
Katanya, satu perjumpaan antara kerajaan, pihak pemaju, NGO dan penduduk orang Asli akan dibuat di SUK, Perak esok.
“Harap perjumpaan itu ada penyelesaian,” katanya, kepada The Malaysian Insight.
Dalam pada itu, Presiden Peka Perak, Sajeeda Muhammad berharap kerajaan baharu akan lebih telus dalam apa jua projek pembangunan yang melibatkan alam sekitar.
“Kenapa projek tiada tender. Bila kami tanya, tak jawab. Kita perlu bincang balik secara terbuka semua pihak.
“Saya harap kerajaan baru terbuka dalam soal projek-projek. Jangan sampai penduduk tidak tahu. Kami tidak memihak mana-mana tapi bila beri kesan alam sekitar kami akan bantah.
“Untuk isu ini perlu kaji semula dan berunding balik, sama ada boleh teruskan atau tidak. Saya berharap kerajaan bagi peluang asli mengekalkan tanah adat mereka,” katanya. – 6 Jun, 2018.
Komen