MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman portal Malaysiakini untuk mencabar Akta Antiberita Tidak Benar 2018.
Hakim Azizah Nawawi menolak permohonan yang difailkan pada 27 April oleh firma guaman Daim and Gamany dengan kos RM5,000.
Dalam penghakimannya, Azizah berkata cabaran yang dikemukan itu “pramatang” di pihak Malaysiakini kerana portal itu masih belum didakwa di bawah akta tersebut oleh kerajaan.
“Dalam kes ini, memandangkan pemohon (Malaysiakini) tidak didakwa di bawah akta tersebut, haknya tidak terjejas.
“Haknya akan terjejas sekiranya ia didakwa di bawah akta berkenaan, dan hanya dalam situasi itu barulah ia boleh mencabar perlembagaan akta berkenaan,” kata Azizah.
Malaysiakini memohon untuk semakan kehakiman bahawa Akta Antiberita Tidak Benar 2018 melanggar Perkara 5 yang melindungi kebebasan individu dan Perkara 10 (1) dalam Perlembagaan yang melindungi kebebasan bersuara.
Portal itu diwakili oleh bekas ahli Parlimen Padang Serai N Surendran, Latheefa Koya dan Shahid Adli.
Surendran yang kecewa dengan keputusan itu berkata beliau akan memfailakn rayuan bagi pihak kliennya.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi diwakili peguam kanan Awang Armadajaya Awang Mahmud, Masiarah Johari, Nik Syahril Nik Ab Rahman dan Muhammad Azmi Mashud.
Kerajaan bekas perdana menteri Najib Razak telah mendapatkan kelulusan parlimen bagi akta itu pada April. Akta tersebut menetapkan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda sehingga RM500,000 bagi pesalah.
Kerajaan BN mendefinisikan berita palsu sebagai “berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau keseluruhannya palsu” termasuk ciri-ciri, visual dan rakaman audio.
Undang-undang ini merangkumi penerbitan digital dan sosial media serta turut diguna pakai kepada pesalah di luar Malaysia, termasuk warga asing.
Selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan, Perdana Menteri Dr Mahathir mohamad berjanji untuk mengkaji semula akta tersebut, tetapi menolak gesaan supaya ia dibatalkan. – 6 Jun, 2018.
Komen